GEORGE TOWN – Polis masih menjalankan siasatan bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kes dua beranak yang maut ditikam di hadapan lif sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam di sini, Khamis lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, setakat ini kertas siasatan masih belum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
”Belum lengkap lagi (kertas siasatan), kami akan dirujuk (kertas siasatan) ke Timbalan Pendakwa Raya selepas ia dilengkapkan. Suspek masih di hospital dan keadaannya stabil,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 12.54 tengah hari, Khamis lalu, Siti Zulaila, 30, dan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62 maut selepas ditikam seorang pemuda menggunakan pisau.
Suspek dipercayai bertindak demikian kerana berang Siti Zulaila tidak membalas cintanya.
Suspek kemudiannya bertindak mengelar dan menikam dirinya sendiri beberapa kali selepas membunuh dua beranak tersebut.
Ditanya sama ada perintah reman ke atas suspek yang akan tamat pada 14 November ini disambung, Swee Sake berkata, perkara itu bergantung kepada perkembangan siasatan.
“Kami akan sambung reman sekiranya siasatan masih belum dilengkapkan,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah, namun pihaknya masih menunggu laporan ujian darah suspek.
“Kita masih menunggu laporan ujian darah bagi menentukan sama ada suspek mengambil dadah atau tidak,” katanya.-KOSMO! ONLINE