MANCHESTER – Pasukan Manchester United terus cemerlang apabila meraih kemenangan ketiga dalam empat perlawanan dibawah kendalian Ruud van Nistelrooy selepas menewaskan Leicester City 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Old Trafford itu, skuad The Red Devils membariskan kesebelasan terbaik dengan Amad Diallo, Marcus Rashford, Bruno Fernandes dan Rosmus Hojlund mengetuai jentera serangan.
Skuad tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi penyudah Fernandes seawal minit ke-17 selepas menerima hantaran Diallo.
Gol tersebut menaikkan semangat United untuk terus mengasak kubu The Foxes dan berjaya meraih gol kedua hasil jaringan sendiri yang dilakukan oleh pertahanan Leicester, Victor Kristiansen pada minit ke-38.
Bersambung pada babak kedua, Leicester berusaha untuk mengasak dalam usaha merapatkan kedudukan tetapi benteng United yang diketuai penjaga gol, Andre Onana cukup kebal.
Pemain gantian, Alejandro Garnacho melengkapkan malam cemerlang United apabila meledak gol ketiga pada penghujung saingan dengan keputusan 3-0 kekal sehingga wisel penamat.
Sementara itu, Newcastle United turut berjaya meraih tiga mata selepas menewaskan Nottingham Forest 3-1 manakala Tottenham Hotspur tewas mengejut kepada pendatang baharu, Ipswich Town dengan keputusan 1-2. – KOSMO! ONLINE