PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera di bahagian mata, tangan serta punggung dipercayai akibat didera pengasuh dalam kejadian di Taman Desaria, di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan daripada doktor yang merawat kanak-kanak itu sekitar pukul 10.55 pagi, kelmarin.
Katanya, kanak-kanak itu disyaki didera oleh penjaga wanita yang juga kenalan ibu mangsa.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian mata, tangan kiri dan kanan serta luka di bahagian punggung.
“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ibu mangsa menyedari kecederaan pada anaknya ketika mengambilnya daripada pengasuh tersebut.
Bagaimanapun, Shahrulnizam berkata, pengasuh itu memberikan alasan kanak-kanak tersebut cedera terkena mercun.
“Suspek tidak diberikan gaji dan kali pertama mangsa dihantar ke pengasuh itu. Tiada tangkapan dilakukan setakat ini,” katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya ditalian 03-79662222.
“Mereka yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat iaitu Inspektor R.Daamotaran Naidu di talian 019-6551269,” katanya.-KOSMO! ONLINE.