TANGAN Angel Lim Yoke Sim didepakan untuk mengajuk bentuk sayap burung sambil kerusi rodanya ditolak memasuki pentas.
Setelah tiba di posisinya di atas pentas, gadis berusia 32 tahun tersebut terus melakukan gerak tari dengan menggerakkan bahagian atas badannya.
Apabila tiba masa melakukan pusingan, tangan Angel disambut oleh pasangan penarinya sekali gus membolehkan dia melakukan putaran lengkap. Biarpun keadaan fizikal membuatkan pergerakannya terhad, namun dia mampu melengkapkan keseluruhan koreografi dengan sempurna.
Menurut pegawai bank tersebut, bengkel tarian inklusif sedemikian memberi peluang untuk insan kelainan upaya sepertinya merasa bebas mengekspresikan diri.
“Saya lumpuh separuh badan sejak mengalami demam panas pada usia tujuh tahun.”
“Saya nampak rakan yang sertai tarian balet dan saya teringin untuk bergerak bebas seperti dia, tetapi saya tidak mampu.”
“Apapun tidak banyak kelas tarian untuk kami kerana kurangnya kelas-kelas tarian yang memiliki venue mesra orang kelainan upaya (OKU),” katanya kepada Panorama.
Angel ditemui ketika menghadiri bengkel tarian inklusif anjuran Dua Space Dance Theatre dengan kerjasama ruangan pameran seni, Telur Pecah di GMBB Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Selain daripada OKU fizikal, bengkel yang berlangsung selama tiga jam tersebut turut disertai peserta yang mengalami kelainan upaya dari segi mental seperti autism spectrum disorder (ASD), sindrom Down dan attention-deficit, hyperactivity disorder (ADHD).
Para peserta dibimbing oleh penari-penari profesional daripada Dua Space Dance Theatre yang akan mengajar peserta menari mengikut kemampuan dan keperluan mereka.
Projek sampingan Dua Space Dance Theatre itu juga menggalakkan orang ramai untuk turut terlibat dalam bengkel tarian yang berlangsung selama tiga jam tersebut.
Hal ini bagi membolehkan orang ramai merebut peluang untuk berinteraksi dengan golongan OKU pelbagai latar belakang sekali gus mewujudkan suasana yang inklusif.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Thasraveen Chandra Segaran mengakui, bantuan guru tari dalam membantu mengingati gerak tari memudahkan pemahamannya.
Pemuda berusia 23 tahun berkenaan merupakan OKU kelainan upaya kategori ASD dan ADHD yang sering dikaitkan dengan cabaran untuk berinteraksi sosial.
Anak muda berketurunan India Bidayuh berkenaan berkata, guru tari dari Dua Space Dance Theatre memiliki kemahiran dalam menangani simptom mereka.
“Mula-mula nampak macam sukar tapi selepas berlatih berkali-kali, saya sudah mula memahami dan mengingati koreografi yang diajar.
“Cikgu tari sangat memahami batasan saya. Ini menyebabkan saya tidak tertekan dan lebih teruja untuk membuat persembahan,” katanya.

Untuk rekod, Dua Space Dance Theatre merupakan syarikat tarian kontemporari profesional sepenuh masa bukan kerajaan yang ditubuhkan oleh Anthony Meh Kim Chuan dan Aman Yap Choong Boon pada tahun 1998.
Dua Space Dance Theatre telah membuat persembahan di hampir seluruh pelusuk dunia termasuklah di Britain, Filipina, India, Sepanyol, Peru, Chile dan Argentina.
Pada 2003, pengasas dan pengarah urusan, Anthony Meh mengadaptasi karya penulis berkerusi roda Taiwan, Liu Hsia ke dalam persembahan teaternya.
Perkara tersebut tiba di pengetahuan anak murid Liu Hsia iaitu Shen Chiu Hsiang yang akhirnya datang ke Kuala Lumpur untuk menonton persembahan tersebut.
Tersentuh dengan persembahan, Chiu Hsiang mencadangkan kepada Anthony Meh untuk melakukan koreografi khas buat mereka yang berkerusi roda.
Bermula pada tahun 2007, Dua Space Dance Theatre mula mengadakan bengkel integrasi yang menggabungkan penarinya bersama OKU berkerusi roda.
Pada tahun 2020, mereka bekerjasama dengan Pusat Komunikasi Antarabangsa untuk Orang Kelainan Upaya (BiG-i) Jepun.
BiG-i ialah sebuah institut kebangsaan ditubuhkan pada tahun 2001 yang menggalakkan pelbagai aktiviti seni dalam kalangan OKU.
Projek berbentuk drama tarian berjudul Breakthrough Journey itu melibatkan penari dari Jepun, Taiwan, Hong Kong, Singapura dan Malaysia.
Jelas Anthony Meh, pihaknya terpegun melihat usaha Jepun dalam memastikan golongan OKU mereka terlibat dalam aktiviti-aktiviti seni.
“Setiap OKU memiliki cabaran tersendiri, namun mereka mampu juga menyertai aktiviti seni sama seperti orang-orang biasa.
“Sebagai contoh, mereka memiliki komuniti OKU pendengaran yang membuat persembahan dengan melihat isyarat tangan pasangan penari biasa.
“Ini sesuatu yang unik memandangkan secara logiknya, OKU pendengaran tidak mampu mendengar muzik dan sudah tentu sukar untuk membaca tempo,” jelasnya.
Kini, Dua Space Dance Theatre sedang melatih seorang penari yang memiliki masalah ADHD, disleksia dan autism bernama Neoh Khai Juin.
Mula bersama syarikat tari tersebut sejak 2016, anak jati Pulau Pinang tersebut sudah mampu melakukan persembahan solo balet dan kontemporari.
Tambah graduan Hong Kong Academy for Performing Art itu lagi, Khai Juin memiliki cabaran untuk mengingati tarian.
Namun, pemuda berusia 25 tahun itu mampu mengingatinya kembali sekiranya disebut kata kunci berkaitan.
“Golongan OKU mental tidak mampu menerima arahan yang banyak dalam satu-satu masa. Mereka hanya boleh mengingati arahan jika diterangkan satu per satu.
“Selain itu dari segi emosi juga perlu dijaga kerana mereka tidak boleh diajar dengan cara disiplin sama seperti orang biasa,” katanya.
Dalam pada itu, penolong pengarah artistik, Lim Hong Jie berkata, cabaran mereka tari untuk bengkel tersebut adalah memastikan koreografi sesuai untuk semua jenis OKU.
“Memandangkan bengkel tarian inklusif melibatkan pelbagai kondisi, saya menerapkan tarian yang mudah tetapi menyeronokkan buat semua peserta terlibat.
“Penari kami dilatih terlebih dahulu tentang cabaran berbeza setiap OKU sebelum mereka tampil sebagai pembimbing penari di bengkel tersebut,” ujarnya.














