fbpx
RIDZ terkejut melihat susuk hantu raya atau ‘genderuwo’ ketika bertugas di sebuah balai polis di Johor semasa syif tengah malam. – ILUSTRASI SHAH HASSAN

Anggota polis pengsan disakat ‘genderuwo’ di balai lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ADA pelbagai kerja dalam dunia ini. Setiap daripadanya memerlukan komitmen dan tanggungjawab tersendiri.

Bercakap soal tugas, ada profesion yang menuntut seseorang bekerja syif sama ada sebelah siang atau malam hari.

Itu rutin yang dilalui oleh Ridz (bukan nama sebenar) ketika bertugas sebagai seorang anggota polis di sebuah daerah di Johor.

Kongsi anak jati Pulau Pinang tersebut, ketika itu, dia baru sahaja tamat kursus asas kepolisan selama enam bulan dan terus dihantar ke Kota Tinggi untuk berkhidmat.

“Alhamdulillah, habis saja kursus dan mendapat pentauliahan, saya dan rakan-rakan sejawat mendapat tempat bertugas masing-masing.

“Biasalah, memang gementar ketika itu kerana saya ditempatkan di selatan tanah air.

“Pun begitu, saya bersyukur kerana masih lagi dekat dengan keluarga kerana boleh memandu kereta atau menaiki bas untuk pulang ke kampung,” katanya.

Meneruskan perbualan, Ridz memberitahu, sebagai anggota baharu, dia mesti bekerja syif yang dibahagikan kepada tiga sesi.

Tiga sesi tersebut adalah pada sebelah pagi bermula pukul 8 pagi, diikuti 4 petang dan 12 tengah malam, di mana setiap syif dibahagikan kepada lapan jam bekerja.

“Sebagai anggota biasa, saya akur dan okey dengan syif tersebut. Enam bulan pertama bekerja, memang saya banyak dapat syif tengah malam dan saya ditempatkan di balai polis untuk bertugas.

“Ada juga anggota yang ‘stand by’ atau meronda pada syif sama termasuk melakukan sekatan jalan raya,” katanya.

Akui Ridz, ketika awal-awal bertugas, semangatnya lain macam dan langsung tidak kisah jika diletakkan pada syif tengah malam sampailah ke awal pagi.

Pun begitu, ada satu peristiwa yang membuatnya trauma dan takut setiap kali dijadualkan bekerja syif tengah malam.

“Balai polis tempat saya bekerja ini sudah lama, lebih 50 tahun dibina. Lokasinya juga agak jauh dari pekan atau bandar.

“Tetapi itu tidak menjadi masalah. Saya berusaha menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin kerana ia merupakan satu ibadah dan amanah.

“Cumanya, ada satu peristiwa ketika saya bertugas pada syif tengah malam di balai. Saya syak anggota sebelum ini juga pernah mengalaminya.

“Ketika itu, saya sedang menulis laporan dan jam dinding kelihatan tepat pukul 1.30 pagi. Maksudnya, baru sejam 30 minit syif saya bermula.

“Ketika itu, saya dengar dengan jelas pintu balai dibuka dan ada salam diberikan. Saya jawab seperti biasa dan tanya apa yang boleh dibantu.

“Namun, apabila saya mendongak daripada menulis, tiada siapa di pintu tersebut.

“Sedangkan saya dengar dengan jelas suara perempuan beri salam yang kedengaran sedikit garau,” katanya.

Enggan ambil pusing dan fikir itu cuma halusinasinya, Ridz menyambung tugas menulis laporan seperti biasa.

Namun, dia sekali lagi ‘diganggu’ dengan cara berbeza.

Ujar anak bongsu daripada lapan beradik itu, dia mendapat panggilan telefon dan menjawab seperti biasa sambil memperkenalkan diri.

“Bayangkan, jelas di halwa telinga kanan saya, suara garau itu sama yang beri salam berulang kali sebelum ini. Seram dan terus naik bulu roma saya ketika itu.

“Saya terus tanya apa yang boleh dibantu, tetapi kali ini disahut dengan hilai tawa dan menangis teresak-esak meminta tolong di hujung talian,” ujarnya.

Seram dan takut dengan apa berlaku, Ridz terus meletakkan panggilan itu dan berlari keluar dari balai tersebut menuju ke pintu pagar utama.

Di kesuraman pagi berembun itu, Ridz terlihat satu susuk wanita bertubuh tinggi yang menyeramkan dengan badan penuh bulu hitam dan bermata merah sambil melambai-lambai ke arahnya.

Tiga hari Ridz demam disebabkan kejadian tersebut. Salah seorang anggota lain yang baharu habis meronda dengan kereta menjumpainya pengsan dengan muka pucat.

Mengikut cerita orang kampung, susuk tubuh wanita tua yang dilihat Ridz dan beberapa anggota lain itu merupakan hantu raya atau lebih dikenali sebagai ‘genderuwo’ dalam bahasa Jawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN