fbpx
Maimun melihat warungnya yang musnah selepas dirempuh lori.

‘Saya hilang pelanggan paling setia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Seorang pemilik warung masih terkejut dan trauma dengan kejadian seorang pelanggan setianya yang maut dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan semasa menjamu selera di gerai tersebut di Kampung Seri Damai, Batu 8, Jalan Kuantan-Maran kelmarin.

Maimun Besar, 55, berkata, ketika kejadian dia sedang memasak di dapur sebelum ter­dengar bunyi dentuman yang ­sangat kuat.

Menurutnya, selepas berlari keluar dia terkejut melihat ada sebuah lori di tengah-tengah warungnya dan sepanjang 15 tahun berniaga di situ, ini merupakan kali pertama dia berdepan dengan kejadian seperti itu.

“Sangat terkejut dan tidak tahu untuk bercakap apa, lebih-lebih lagi bila melihat pelanggan yang setia berkunjung sejak dibuka malah baik dan sering bergurau-senda terlibat dalam kemalangan.

“Arwah antara pelanggan yang selalu datang, kadang-kadang dalam sehari sampai tiga kali, malah kalau ada kawan-kawan ke bengkel besi, dia pasti akan bawa makan di sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, sebuah lori yang hilang kawalan merempuh sebuah gerai di persimpangan Kampung Seri Damai, Batu 8, Jalan Kuantan-Maran.

Seorang pengusaha bengkel yang sedang makan di warung tersebut maut, manakala seorang lagi cedera.

Mangsa yang maut Affendi Abd. Wahab, 51, dari Taman Guru, di sini meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Dalam pada itu, seorang ­pelanggan, Lai Yoke Kwai, 59, yang terselamat dalam kejadian itu mengakui dia bernasib baik.

Katanya, ketika kejadian dia bersama seorang lagi rakan sedang minum sebelum datang sebuah lori yang merempuh warung berkenaan.

“Lori itu dari jauh sudah nampak sangat laju dan ketika rempuh warung itu, keadaan sangat menakutkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, hasil siasatan awal, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas me­rempuh warung yang berada di bahu jalan.

“Sampel darah dan air kencing pemandu tersebut akan diambil bagi tujuan toksikologi dan kes tersebut disiasat di bawah Sek­syen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN