KOTA BHARU – Pil kuda atau yaba yang bermaksud ‘pil gila’ dalam Bahasa Thailand menjadi kegilaan penagih termasuk pelajar sekolah di Kelantan kerana harganya yang murah dan mudah diperoleh.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sebiji pil kuda dijual di bawah RM10 di negeri ini berbanding RM15 di negeri pantai timur lain iaitu Pahang dan Terengganu menjadikannya dadah paling popular berbanding ganja, syabu atau heroin.
Katanya, ia menjadi faktor utama pelajar sekolah di negeri itu mudah terjebak dengan dadah.
“Harga pil kuda di sini murah kerana kos pengangkutan termasuk halangan (selepas diseludup dari Thailand) jauh lebih rendah. Jika dibawa keluar dari Kelantan, risiko untuk ditangkap tinggi.
“Harga murah dan senang diperoleh menyebabkan ramai pelajar sekolah mula terjebak dengan dadah,” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Perjumpaan dan Suai Kenal Ketua Polis Kelantan Bersama Rakan Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini kelmarin.
Menurut Mohd. Yusoff, beliau melihat isu melibatkan dadah di Kelantan berada pada tahap serius.
Tambahnya, rampasan pil kuda dan heroin terbesar bernilai RM49.17 juta di Jalan Pasir Mas-Salor di sini pada bulan lalu menjadi bukti pengedaran dadah itu mendapat permintaan tinggi dan berada pada tahap serius.
“Kes-kes dadah juga menyebabkan masalah sosial di Kelantan serius,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Yusoff berkata, ramai anak muda Kelantan pergi berhibur di Golok, Thailand pada hujung minggu hingga mengakibatkan kelab malam di situ sesak dan perlu menunggu giliran untuk masuk.
Ujar Mohd. Yusoff, maklumat itu disampaikan sendiri oleh rakan sejawatannya di Thailand yang mengadakan kunjungan hormat ke IPK Kelantan pada Ahad lalu.
“Orang muda Kelantan akan berpusu-pusu berhibur di kelab malam Thailand pada malam Jumaat dan Sabtu.
“Mereka perlu tunggu syif untuk masuk kelab malam. Semua pihak tidak boleh buat apa kerana kerajaan Thailand tidak sekat,” katanya.
Menurut Mohd. Yusoff, sekiranya perkara itu berlaku di Malaysia (rakyat asing datang berhibur), pihak berkuasa boleh menangkap mereka mengikut Akta Imigresen.
“Kebanyakan mereka masuk ke Thailand menggunakan jalan haram dan ada yang berusia belasan tahun. Masuk petang Khamis balik hari Sabtu,” katanya.
Mohd. Yusoff berkata, golongan yang gemar berhibur di kelab malam itu juga disyaki meletakkan kenderaan mereka di Rantau Panjang sebelum menyeberangi Sungai Golok untuk ke negara berkenaan.
“Tidak ramai ke Golok menggunakan laluan sah melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan,” katanya.














