fbpx
KEADAAN laluan tanah ke Pos Gob, Gua Musang yang kerap rosak setiap kali hujan. – AIMUNI TUAN LAH

Tidur di hutan sebab jalan rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Gob di sini mengambil risiko menggunakan jalan tanah yang rosak setiap kali cuaca hujan sejak berpuluh tahun lalu.

Beberapa lokasi di laluan jalan tanah mengalami kerosakan ­teruk sehingga menjejaskan aktiviti dan kehidupan harian mereka setiap kali hujan lebat.

Seorang penduduk Kampung Kacheng, Rahimah Punai, 37, berkata, apabila cuaca hujan penduduk kerap terkandas untuk pulang ke kampung kerana jalan tanah rosak teruk sehingga mereka terpaksa bermalam dalam hutan.

Katanya, penduduk bertungkus-lumus sendiri untuk membaiki jalan rosak bagi kemudahan laluan mereka.

“Jika cuaca hujan, kami memang susah untuk keluar atau pulang ke kampung kerana jalan rosak teruk.

“Anak kami yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis juga sukar mahu pulang kerana kenderaan tersangkut di tengah jalan.

“Apabila musim tengkujuh pula, kami susah mendapatkan barang makanan kerana jalan tanah rosak dan air sungai naik. Tanaman seperti ubi kayu atau pisang juga rosak kerana habis dipijak dan dimakan gajah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Jati Roslan, 32, berkata, setiap kali cuaca hujan penduduk mende­rita kerana lumpur yang tebal merosakkan rantai dan tayar motosikal.

Katanya, paras air sungai ­turut meningkat sehingga memaksa penduduk bergotong-royong untuk mengangkat motosikal ke seberang.

“Penduduk berusaha membaiki kerosakan jalan tanah walaupun tenaga kami tidak seberapa dan prosesnya begitu sukar.

“Kebiasaannya jalan yang rosak teruk bermula dari Kampung Tembaga sehinggalah ke Kampung Gob.

“Kami merayu agar pihak kerajaan menaik taraf jalan perhubungan ke kampung kami untuk keselesaan terutama ketika musim tengkujuh,” katanya.

Sementara itu, wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya mengambil maklum masalah membelenggu hampir ­­1,000 penduduk Orang Asli di Pos Gob.

Katanya, dia telah meninjau dan melalui jalan untuk ke Pos Gob dan beberapa lokasi berlaku kerosakan teruk serta perlu dibaiki dengan kadar segera.

“Saya akan memohon kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) agar mempercepatkan lagi pembinaan jalan yang telah berlaku kerosakan akibat hujan sejak bulan lalu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN