GUA MUSANG – Seramai 13 pekerja yang melakukan kerja-kerja menurap jalan di Jalan Gua Musang-Kenyir dekat Felda Aring 5 di sini terkejut selepas ternampak dua ekor harimau belang melintas jalan kelmarin.
Dalam kejadian pukul 8.20 malam itu, kesemua pekerja terbabit berada dalam ketakutan selepas melihat kelibat harimau terbabit kira-kira 300 meter dari tempat mereka bekerja.
Menurut pengurus pekerja berkenaan, Mohamad Alif Asrah Rosdi, 33, berkata, ia merupakan kejadian kedua selepas ada pekerja lain pernah melihat haiwan liar itu melintas jalan sebelum ini.
Katanya, kejadian kelmarin merupakan laluan sama pekerja melihat seekor harimau belang melintas jalan di jalan utama berhampiran Felda Aring 5 di sini pada Ahad lalu.
“Pekerja yang melakukan kerja penurapan jalan kelmarin memaklumkan kelibat dua ekor harimau belang dikesan melintas jalan kira-kira 300 meter dari tempat mereka melakukan kerja.
“Sebelum itu, seekor harimau belang turut kelihatan melintas jalan kira-kira pukul 9.30 pagi Ahad lepas. Keadaan itu membuatkan kami bekerja dalam ketakutan dan berhati-hati kerana bimbang haiwan liar itu muncul semula,” ujarnya.
Tambahnya, jalan terbabit merupakan laluan utama penduduk di Felda Aring 5 dan juga terdapat perkampungan Orang Asli berhampiran kawasan berkenaan.
Menurut Mohamad Alif Asrah, kemunculan haiwan liar itu turut menimbulkan kebimbangan kerana jalan berkenaan adalah laluan utama dan boleh menyebabkan kemalangan sekiranya ia muncul dan melintas jalan pada waktu malam.
“Kami tetap meneruskan kerja sehingga pukul 12 tengah malam untuk menyiapkan projek turapan jalan yang perlu disiapkan Khamis ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya masih belum menerima aduan berkenaan kemunculan haiwan liar di kawasan terbabit.














