fbpx
NAJIB didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Nasib Najib diketahui esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi kes menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion akan diketahui esok di Mahkamah Tinggi di sini.

Keputusan sama ada Najib, 71, dilepas atau diperintah membela diri di akhir pendakwaan kes itu akan ditentukan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini hakim Mahkamah Rayuan.

Hakim Collin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan di akhir kes pendakwaan bermula 19 Ogos lalu, yang berlangsung selama 12 hari.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak atas penghujahan yang teliti, saya akan me­nyampaikan keputusan itu,” kata Hakim Collin ketika menetapkan tarikh tersebut.

Pada Mei lalu, selepas enam tahun, pihak pendakwaan ­akhirnya menutup kes dengan prosiding berlangsung selama 235 hari.

Antara saksi penting yang ­dipanggil memberikan ketera­ngan termasuklah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang ha­ram membabitkan jumlah sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank sama pada 22 Mac dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pem­biayaan Keganasan (AMLATFA) yang membawa denda maksimum RM5 juta dan penjara ­sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Minggu lalu, Najib menzahirkan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia.

Menerusi pernyataan dibacakan anaknya, Datuk Moha­mad Nizar, Najib memaklumkan setiap hari dia berasa amat terluka apabila mengetahui kecura­ngan yang berlaku dalam syarikat itu semasa di bawah pengawasan bapanya sebagai Menteri Kewa­ngan dan Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN