fbpx
KEBANYAKAN penghuni di rumah kebajikan kanak-kanak di sekitar Ipoh terdiri daripada anak-anak yatim dan keluarga asnaf.

Anak lapar kena ‘pos’ ke rumah amal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – “Saya sudah tak sanggup lihat anak-anak kelaparan. Rasa seperti disiat-siat hati ini kerana ia membuatkan saya rasa gagal sebagai seorang ibu.” Hanya itu mampu diluahkan seorang ibu tunggal dikenali sebagai Sal, 39, yang terpaksa menghantar empat anaknya ke sebuah rumah kebajikan ekoran desakan hidup.

Sal antara sebahagian ibu bapa yang berbuat demikian sebagai talian hayat kepada anak-anak mereka supaya dapat meneruskan kehidupan dalam keadaan lebih selesa.

Mereka akan melawat anak-anak pada hujung minggu atau kadangkala membawa keluar seharian untuk bersama sebelum dihantar pulang semula ke rumah kebajikan.

Menurut Sal, kesempitan hidup yang dialaminya bermula apabila dia bercerai beberapa tahun lalu dan kesemua empat anaknya memilih untuk bersamanya.

Setelah bercerai katanya, dia terpaksa menyewa bilik di bandar ini, namun keadaan itu tidak ideal untuk membesarkan anak-anaknya yang berusia antara 8 hingga 13 tahun.

“Saya seorang penjual direct selling, jadi waktu bekerja tidak menentu, malah pendapatan pun memang tak cukup kerana ada masanya hanya me­raih kurang RM1,000 sebulan.

“Kerja sebegini membuatkan saya terpaksa meninggalkan anak-anak di bilik, jadi kadang­kala mereka tak dapat nak ke sekolah kerana tiada orang yang boleh ambil mereka apabila pulang.

“Ada ketikanya juga saya tidak dapat memberi wang saku mencukupi kepada anak-anaknya menyebabkan mereka hanya mampu minum kosong di sekolah,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sal yang berasal dari Sik, Kedah berkata, apabila anak-anak pulang ke bilik sewa, mereka mengadu lapar menyebabkan dia begitu terkilan kerana tidak dapat menyediakan semua itu.

“Memang saya sedih sangat dengan keadaan ini, sehinggalah saya ambil keputusan untuk hantar mereka ke sebuah pusat kebajikan di Ipoh,” ujarnya.

Perkara sama turut diluahkan seorang bapa tunggal, Mohd. Nor, 42, yang menghantar anak-anaknya ke rumah kebajikan apabila mereka sering mengadu tidak cukup makan.

“Saya hanya buat kerja-kerja kampung seperti memotong rumput dan mengait buah kelapa, jadi upah diterima tak menentu.

“Isteri saya pula telah meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu dan sewaktu itu kami sama-sama membesarkan anak, jadi beban tidaklah begitu terasa,” katanya.

Ujarnya yang berasal dari Bidor, dua anaknya berusia 11 dan 13 tahun memilih untuk tinggal bersamanya berbanding datuk dan nenek mereka di Pulau Pinang.

“Saya tak kisah membesarkan mereka, namun disebabkan upah diterima begitu kecil, saya berpandangan lebih baik menghantar mereka ke rumah kebajikan bagi memastikan makan minum anak-anak terjaga.

“Mereka juga faham dengan situasi dihadapi ini, bahkan mereka gembira kerana ada rakan-rakan seusia yang lain di sana. Syukurlah saya mampu untuk bertemu mereka dan tiap kali berjumpa anak-anak dalam keadaan sihat.

“Cukup-cukuplah anak-anak kelihatan tak bermaya akibat kelaparan ketika tinggal bersama saya. Biar saya yang mengikat perut akibat lapar, jangan anak-anak saya,” katanya.

Seorang ibu tunggal yang mahu dipanggil Nur, 39, pula berkata, dia menghantar tiga anaknya ke rumah kebajikan ke­rana adik-beradiknya yang pada mulanya mahu membantu mula rasa terbeban.

Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh anak-anaknya yang berulang kali mendengar rungutan adik-beradiknya sewaktu ditempatkan di bawah jagaan mereka.

“Kadangkala anak-anak terdengar juga rungutan adik-beradik saya bahawa menjaga anak-anak saya adalah beban, seolah-olah saya seperti lepas tangan.

“Adakala saya hanya minta mereka duduk dalam bilik agar tidak menyusahkan keluarga saudara. Jika lapar, minta mereka makan roti sahaja,” ujarnya yang hanya bekerja sebagai pe­ngawal keselamatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN