LOKASI seperti hutan dan laut dikatakan sering menjadi tempat persembunyian atau ‘kediaman’ makhluk halus.
Walaupun keberadaannya tidak dapat dibuktikan secara fizikal, namun sudah banyak kisah yang sampai ke telinga kita mengenai entiti misteri.
Bagi Rahim (bukan nama sebenar), dia mempunyai sebab untuk mempercayai perkara tersebut kerana pernah mengalami situasi seram berhadapan dengan makhluk halus.
Ceritanya, kejadian tersebut berlaku sekitar 15 tahun lalu ketika dia sedang berkhemah bersama kira-kira 30 rakan universiti di sebuah kawasan perumahan Orang Asli di Perak.
“Ketika itu, saya dan rakan-rakan menjalankan aktiviti mendaki dan berkhemah di satu kawasan tasik berhampiran hutan simpan di Perak selama tiga hari dua malam.
“Perjalanan dari jeti utama ke kawasan perkhemahan mengambil masa kira-kira dua jam dengan menaiki bot,” katanya.
Menurut Rahim, pada hari pertama, semua peserta yang tiba kira-kira pukul 2 petang banyak menghabiskan masa dengan membersihkan kawasan dan memasang khemah.
Pada sebelah malamnya, mereka mengadakan aktiviti santai termasuk suai kenal antara pelajar senior dan junior sebelum masuk tidur di khemah masing-masing.
“Seperti dijadualkan, kesemua peserta bangun awal untuk menjalankan aktiviti mendaki gunung seawal pukul 8 pagi.
“Pendakian ke puncak gunung mengambil masa kira-kira tiga jam sebelum turun semula untuk singgah di satu kawasan air terjun.
“Disebabkan sebahagian peserta adalah pelajar baharu yang tidak pernah melakukan aktiviti pendakian, maka pergerakan mereka agak perlahan.
“Kami hanya tiba semula di tapak perkhemahan kira-kira pukul 7 malam iaitu lewat dua jam daripada yang dijadualkan,” katanya.
Menurut Rahim, pada malam hari kedua, kebanyakan peserta tidur awal kerana keletihan, manakala sebahagian lagi masih berbual-bual kosong termasuk dirinya.
Ketika sedang berbual, dia terasa seperti ingin membuang air kecil sebelum mengambil keputusan untuk ke tebing sungai seorang diri bagi melunaskan hajatnya.
“Disebabkan sudah biasa dengan aktiviti bermalam di hutan, saya ke tebing sungai berseorangan dengan berbekalkan lampu suluh di kepala.
“Sebaik tiba di satu kawasan berbatu bersebelahan pokok, saya membuang air kecil sambil memerhatikan keadaan di sekeliling sebagai langkah keselamatan.
“Dalam keadaan cahaya bulan yang samar-samar, saya dapat melihat ada seorang wanita sedang duduk di atas batu seolah-olah sedang membasuh pakaian berhampiran penempatan Orang Asli yang terletak di seberang sungai.
“Saya menutup lampu kepala dan hanya memerhatikan perbuatan wanita tersebut sebelum mula berfikir sebab dia membasuh pakaian pada tengah malam,” katanya.
Jelasnya lagi, belum sempat persoalannya terjawab, dia melihat kelibat wanita berkenaan seakan-akan terbang dari atas batu menuju ke dahan sebatang pokok besar yang terletak tidak jauh dari situ.
Dia yang ketika itu dalam keadaan ketakutan berlari laju ke arah tapak perkhemahan yang terletak kira-kira 50 meter dari situ.
“Sebaik tiba di tapak perkhemahan, saya menceritakan kejadian yang berlaku itu kepada rakan-rakan yang sedang rancak berbual sesama mereka.
“Sebaik mendengar perkara tersebut, kami mengambil keputusan untuk terus masuk ke khemah masing-masing dan membacakan ayat al-Quran sebagai pendinding daripada gangguan makhluk halus,” ujarnya,
Kata Rahim lagi, keesokan harinya, ketika sudah berada di atas bot menuju ke jeti untuk pulang ke universiti, dia menceritakan kejadian tersebut kepada salah seorang jurupandu arah yang turut serta.
Berdasarkan cerita jurupandu arah tersebut, lembaga seakan wanita mencuci pakaian tersebut dikatakan jelmaan seorang gadis Orang Asli dari kampung berkenaan yang mati bunuh diri.
Kejadian tragis itu dikatakan berlaku kira-kira 30 tahun lalu apabila gadis berkenaan menggantung dirinya pada sebatang pokok akibat cintanya ditolak oleh seorang pemuda yang telah membuntingkannya.
“Akibat malu akan perbuatannya, gadis berkenaan mengambil keputusan membunuh diri dan rohnya yang tidak tenteram itu dikatakan akan muncul pada waktu-waktu tertentu.
“Menurut cerita orang kampung di perkampungan Orang Asli itu, lembaga wanita tersebut dikatakan telah ‘berjanji’ dengan tok batin untuk tidak mengganggu orang luar yang berkunjung ke hutan berkenaan,” katanya.
Tambah Rahim, walaupun kejadian seram itu sukar untuk dilupakan, namun ia bukanlah kejadian pertama seumpamanya dialami oleh dirinya.
Katanya, sebagai seorang yang cintakan aktiviti lasak terutama mendaki dan berkhemah, dia juga pernah berhadapan dengan beberapa situasi seram di beberapa lokasi lain.
Namun begitu, dia menganggap semua kejadian tersebut adalah petunjuk daripada Allah SWT kepadanya supaya meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Sang Pencipta.














