PETALING JAYA – Rata-rata pengasuh di Lembah Klang dijangka menaikkan kadar upah antara RM20 dan RM70 seorang bagi bayi dan kanak-kanak pada tahun hadapan.
Tindakan itu dibuat bagi menampung kos barangan keperluan yang dijangka meningkat susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 berkuat kuasa pada Februari 2025.
Seorang pengasuh, Zuriati Abu Wahab, 49, berkata, dia sudah memaklumkan mengenai kenaikan upah sebanyak RM50 itu kepada ibu bapa anak asuhannya supaya mereka dapat membuat persiapan lebih awal.
“Seperti biasa, setiap kali gaji naik atau dapat bonus, harga barangan akan naik. Kami (pengasuh) juga menampung hidup dengan upah mengasuh.
“Bagi anak-anak asuhan yang berusia dua tahun dan ke atas, saya akan menyediakan makanan kepada mereka,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Zuriati mengenakan upah sebanyak RM650 bagi bayi berusia tiga bulan hingga setahun mulai tahun hadapan berbanding RM600 sebulan ketika ini.
Bagi kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun, wanita itu menaikkan caj upah sebanyak RM30 kepada RM480 sebulan pada tahun depan.
Untuk transit pula, Zuriati mengenakan caj RM430 sebulan tahun depan melibatkan kenaikan sebanyak RM30. Caj lewat ambil pula RM10 perjam.
Menurut Zuriati, caj kenaikan itu disifatkan masih ‘boleh diterima akal’ dan tidak terlalu mendadak dengan ibu bapa akan dimaklumkan beberapa bulan menjelang tahun baharu.
Jelasnya, penjagaan bayi adalah jauh lebih sukar dan memerlukan pemerhatian lebih masa berbanding kanak-kanak.
Seorang lagi pengasuh yang mahu dikenali sebagai Esah, 51, memberitahu, kenaikan kos sara hidup di ibu negara memaksanya untuk menaikkan upah mengasuh sebanyak RM20 pada tahun hadapan.
“Untuk bayi, upah yang saya kenakan sekarang adalah RM630 sebulan. Tahun depan, selepas berbincang, saya akan naikkan kepada RM650. Sudah dua tahun saya tidak naikkan kadar upah,” katanya.
Esah memberitahu, dia turut mengehadkan bilangan anak asuhan kepada tiga orang supaya mereka dapat perhatian yang sewajarnya.
“Cara asuhan setiap orang berbeza. Saya jaga pemakanan mereka, ibu bapa hanya perlu hantar anak dan bawa susu formula serta pakaian. Keperluan makanan saya yang sediakan dari A sampai Z.
“Sebab itu upah yang dikenakan sedikit mahal, tetapi alhamdulilah perkhidmatan yang saya berikan setakat ini memuaskan hati ibu bapa,” ujarnya.
Seorang lagi pengasuh, Hayati, 54, berkata, dia menetapkan kenaikan upah sebanyak RM50 bermula tahun depan kepada RM500 berbanding RM450 seorang ketika ini.
Hayati yang berpengalaman sebagai pengasuh selama 20 tahun berkata, bayaran RM450 itu tidak berubah sejak 10 tahun lalu dan kenaikan RM50 dianggap munasabah selain mahu menampung kos harga barangan yang kian meningkat.
“Kalau ikutkan sehari RM22.50 (RM450 sebulan) untuk seorang bayi dan kanak-kanak. Kalau kata mahal, harga barang pun naik, tambahan pula gaji tahunan ibu bapa ada kenaikan setiap tahun.
“Saya bukannya terlalu kejam untuk mengenakan bayaran yang terlalu tinggi sekiranya ada ibu bapa yang menghantar anak lebih daripada seorang
“Sebagai contoh, kalau ada dua anak yang dihantar untuk dijaga, mungkin saya pertimbangkan perkara itu,” kata wanita itu. -KOSMO! ONLINE














