LAPAN tahun lalu menjadi antara momen paling penting dan tidak boleh dilupakan oleh wanita bersemangat waja ini.
Keputusannya meninggalkan kerjaya di awan biru sebagai pramugari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selepas 13 tahun bukanlah satu perkara mudah.
Bagi wanita bernama Zamira Shahabudin ini, menamatkan perkhidmatan lebih awal, tidak pernah ada dalam kamus hidupnya.
Pun begitu, demi menjaga bapanya yang didiagnos menghidap kanser prostat dan beberapa komplikasi lain, dia nekad meninggalkan kerjaya tersebut.
Keputusan itu secara tidak langsung menjadi titik tolak buat dirinya yang kini bergelar usahawan dan pemilik restoran Zamira Dapur Kayu di Rembau, Negeri Sembilan.
“Jujur saya katakan, sepanjang 13 tahun bekerja sebagai pramugari bersama TUDM, saya langsung tiada masa bersama keluarga lebih-lebih lagi dengan ibu bapa.
“Apabila ayah didiagnos kanser, saya nekad bersara lebih awal dan balik kampung untuk menjaganya,” ujarnya memulakan bicara bersama Aura.
Jelas wanita berusia 41 tahun itu, selepas pulang ke kampung, dia ‘buntu’ dan tidak tahu apa yang boleh dilakukan bagi menjana pendapatan.
Kata Zamira, ayahnya ada menyuruh dia melakukan bisnes secara kecil-kecilan dari rumah tanpa perlu pergi jauh-jauh.
“Saya suka memasak. Apa yang uniknya, keluarga saya di Rembau ini jika masak memang akan pakai dapur kayu tradisional.
“Jadi, saya suka memasak dan berkongsi beberapa juadah masakan menggunakan dapur kayu di dalam media sosial.
“Kebanyakan rakan-rakan di media sosial menyarankan saya supaya membuka kedai makan atau keluarkan produk sendiri,” katanya.
Enggan berfikir panjang, dia terus menyahut cabaran tersebut untuk berjinak-jinak dalam bisnes.
“Saya hanya masak untuk keluarga. Daripada tiada pengikut (follower), kemudian sedikit demi sedikit saya mula dikenali.
“Saya kemudian terus hasilkan produk perasa menggunakan 13 jenis rempah.
“Resipi rempah ini diturunkan oleh moyang sehingga kepada saya. Rempah ini membawa tuah kepada saya,” katanya.

Dek respons positif dan permintaan memberangsangkan daripada pelanggan termasuk pengikutnya di laman sosial, Zamira memperkenalkan dua produk baharu iaitu dodol dan rendang pucuk ubi.
Selepas berniaga, dia dapat mengumpul sedikit modal untuk membuka kedai makan sendiri iaitu Dapur Kayu pada 2021.
“Saya masih ingat, saya dan suami memulakan kedai makan dengan empat meja dan dua pekerja sahaja.
“Menu yang ditawarkan ketika itu juga tidak banyak kerana kami masih baharu dan tidak mampu menyediakan juadah yang banyak.
“Alhamdulillah, kedai makan yang dikenali sebagai Zamira Dapur Kayu kini mampu menampung lebih 300 orang pada satu-satu masa.
“Kami juga diizinkan untuk berkongsi rezeki kepada 30 orang pekerja yang sama-sama menaikkan dan memajukan lagi Zamira Dapur Kayu,” katanya.
Lebih menarik, kedai makan itu diusahakannya di rumah pusaka milik keluarganya dan menampilkan konsep ‘berjamba’ (menu dihidang dalam dulang) dengan seleksi makanan autentik Negeri Sembilan.
“Pada hari biasa, kami menawarkan antara 13 hingga 15 menu, namun akan mencecah sehingga 25 menu pada hari cuti umum atau hujung minggu.
“Antara menu yang ditawarkan adalah gulai siput sedut, gulai telur itik, talapia goreng, pucuk ubi tempoyak, dan rendang ayam maman.
“Pelanggan juga boleh menikmati hidangan secara set jamba dulang dengan lima menu, antaranya rendang daging, ayam goreng dan daging salai,” katanya.

Jelasnya lagi, dia kini mempunyai lapan dapur kayu bagi menyediakan semua hidangan termasuk dodol.
“Semua hidangan ini dimasak dengan cara lama dan saya tidak pernah ubah resepinya.
“Kami masak rendang guna dapur kayu selama tiga hingga empat jam sehingga betul-betul kering.
“Saya tidak pakai kerisik dan warna hitam ini disebabkan rempah istimewa yang digunakan,” katanya.
Menurut Zamira, pelanggan boleh memilih untuk makan di rumah pusaka yang berusia hampir 100 tahun atau menikmati makanan di tepi sungai.
“‘Makan, santai dan menikmati’, itu merupakan tagline kami.
“Sambil makan, pengunjung boleh boleh tengok kampung, duduk makan di rumah macam kenduri, duduk di tepi sungai atau di rumah Melayu lama,” katanya.
Diajukan soalan sama ada dia merindui kerjaya di awan biru, Sarjan Bersara Zamira mengakui, perasaan rindu itu ada, tetapi memilih untuk fokus kepada perniagaan yang diusahakan ketika ini.
Jelasnya, pengalaman selama 13 tahun berkhidmat di awan biru penuh dengan kenangan manis.
Ujarnya, ia jauh berbeza dengan kru kabin lain yang rata-rata bertugas di penerbangan komersial.
Katanya, sepanjang lebih sedekad bertugas, dia sangat bertuah kerana dapat mengiringi ramai orang kenamaan dan individu utama negara.
Antaranya, Agong, Permaisuri Agong, Sultan, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan ramai lagi golongan kenamaan.
Berkongsi sebab menyertai bidang penerbangan sebelum ini, Zamira berkata, pada mulanya, dia tidak pernah tahu bahawa ada jawatan pramugari dan pramugara di dalam TUDM.
“Selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya melanjutkan pengajian ke Kolej Tentera Udara dan mengambil profesional diploma in Malaysian Heritage Culinary.
“Dari sekolah lagi, saya memang sukakan aktiviti lasak dan impikan kerjaya dalam unit beruniform.
“Alhamdulillah, selepas tamat latihan selama enam bulan, saya ditempatkan di bahagian pramugari yang dikenali sebagai Air Quartermaster (AQM).
“Ketika itu, baru saya sedar dan tahu rupanya dalam ketenteraan pun ada pramugara dan pramugari yang bertugas untuk mengiringi golongan kenamaan negara,” katanya.
Antara pengalaman paling berharga yang tidak dapat dilupakan oleh Zamira semasa berkhidmat dahulu adalah sewaktu ditugaskan membawa kerabat diraja Britain, Putera William dan Catherine Middleton ke London sekitar 2011.















