fbpx
TARIAN kathak dipersembahkan kepada pengunjung sempena Deepavali di IOI City Mall, Putrajaya. – FARIZ RUSAIDO

‘Putaran emosi’ tarian kathak dari Utara India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIMA penari mula menggerakkan tubuh mereka seiring dengan irama saat muzik klasik India dimainkan menerusi pembesar suara.

Dua penari lelaki berpakaian kurta yang dilapiskan dengan sherwani serta dipasangkan dengan churidar berada di formasi sebelah kiri.

Sementara di sebelah kanan, dua penari wanita anggun berbusana anarkali, berselendang odhni serta lengkap memakai barang kemas.

Di tengah-tengah, penari utama lelaki melakukan tarian chakkars dengan memusingkan badannya dalam bentuk bulatan kecil.

Tangannya berada dalam gerakan mudras bagi memastikan keseluruhan badan kekal terkawal dan seimbang.

Ghungroos (loceng buku lali) yang dipakai penari tersebut mencipta bunyi berirama, sekali gus melengkapkan alunan muzik latar.

Tarian lembut tetapi penuh bertenaga itu merupakan tarian kathak yang berasal dari utara India, sebelum dibawa masuk ke Malaysia.

Ketua kumpulan tarian, Mageswaran Tanappal berkata, persembahan tersebut merupakan pengalaman pertama mereka melakukan tarian kathak.

“Tarian kathak jarang dipersembahkan di Malaysia. Oleh itu, kami mahu tampilkan tarian ini kepada umum sebagai satu kelainan.

“Kami memerlukan masa sebulan untuk berlatih melakukan tarian berkenaan sebelum mempersembahkan kepada umum,” katanya.

Mageswaran ditemui ketika dijemput membuat persembahan menjelang sambutan Deepavali di IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.

Turut bersamanya adalah rakan tarian dari Universal Mazhai Academy Malaysia iaitu Shiva, Shaluneswary, Chan Huii Fong dan Suriya.

Tarian yang dilakukan di hadapan orang ramai itu memakan masa lebih kurang 20 minit dengan empat lagu dipersembahkan.

Oleh kerana persembahan tersebut bersempena Deepavali, kisah yang dipaparkan menerusi tarian itu mengenai keraian dan keseronokan.

Ujar lelaki berusia 37 tahun itu, kathak berasal daripada perkataan Sanskrit, ‘Katha’ bermaksud cerita dan ‘Kathakar’ (tukang cerita).

“Hari ini (Sabtu), kami mempersembahkan tentang keseronokan orang kampung merayakan Deepavali menerusi ‘medley’ empat lagu,” katanya.

Untuk pengetahuan, kathak merupakan salah satu daripada lapan bentuk tarian klasik India.

Tujuh yang lain adalah bharatanatyam, kathakali, kuchipudi, odissi, manipuri, mohiniyattam dan sattriya.

Seorang penari memakai loceng buku lali dikenali sebagai ghungroos.

Empat elemen kathak adalah nritta (pergerakan kaki yang rumit), chakkars (putaran), nritya (gerak isyarat ekspresif) dan abhinaya (penceritaan dramatik).

Kathak secara tradisinya dipersembahkan dengan muzik secara langsung seperti tabla, harmonium, sarangi dan sitar.

Penari akan berinteraksi dengan pemuzik dan persembahan selalunya melibatkan elemen improvisasi antara penari serta pemain tabla.

Semasa era pemerintahan Mughal di India pada abad ke-16 dan 18, kathak beralih daripada bentuk seni tarian keagamaan kepada hiburan diraja.

Mughal menggabungkan pencampuran unsur-unsur budaya Parsi dan India, sekali gus melihatkan persamaan dengan tarian sufi.

Kini, kathak mendapat permintaan tinggi pada majlis perkahwinan atau perayaan istimewa di India serta dalam kalangan diaspora.

Tarian kathak juga sering digunakan dalam filem Bollywood seperti Devdas (2002) menerusi lagu Maar Dala dan filem, Bajirao Mastani menerusi lagu Mohe Rang Do Laal.

Menurut salah seorang penari wanita, Huii Fong, bahagian paling sukar dalam tarian kathak adalah sewaktu melakukan gerakan chakkars.

“Ada bahagian dalam koreografi, saya perlu melakukan lapan pusingan kecil sambil mengelilingi bulatan besar.

“Kalau salah teknik ke depan, boleh jadi pening dan hilang keseimbangan sehingga jatuh tersembam.

“Rahsianya adalah fokus pandangan pada satu titik imaginasi ketika buat pusingan dan kawal pernafasan,” jelasnya.

Pada peringkat pemula, penari biasanya berlatih selama dua hingga empat chakkar berturut-turut sebelum beransur kepada lapan hingga 12 chakkar berturut-turut.

Bagi penari kathak profesional, mereka selalunya boleh melakukan 20 hingga 30 chakkar atau lebih dalam satu pusingan besar.

Beberapa penari yang mahir diketahui mampu mempersembahkan sehingga 50 atau 100 chakkar dalam satu-satu masa.

Wanita berketurunan Cina-India itu turut meluahkan kesyukuran apabila diberi kesempatan untuk mempersembahkan tarian tersebut.

“Ini peluang terbaik kepada kami sebagai penari untuk terus meneroka tarian klasik lain, selain bharatanatyam.

“Untuk persembahan ini sahaja, kami berlatih tiga jam pada setiap malam selama sebulan. Sebenarnya, kami masing-masing memiliki kerjaya sendiri,” katanya.

Di Malaysia, terdapat beberapa organisasi tarian klasik yang berusaha melestarikan tarian kathak terutama mereka yang berketurunan Utara India.

Namun, ia tidak serancak tarian bharatanatyam kerana kebanyakan populasi India di Malaysia adalah etnik Tamil dari Selatan India.

Kathak sering dipersembahkan di Festival Kesenian India Malaysia (MIFA), Festival Muzik dan Tarian Klasik India dan Festival George Town.

Selain itu, penari kathak terkemuka dari India sering mengembara ke Malaysia untuk mengadakan bengkel, persembahan dan kelas induk.

Pengasas Universal Mazhai Academy Malaysia, Nithiyanantham berkata, kebanyakan kelas tarian di negara ini mengajar pelbagai tarian klasik, namun tidak begitu menekankan kathak.

“Di India, mereka mengamalkan tarian mengikut kawasan masing-masing.

“Contohnya, kathak di Utara, manakala bharatanatyam di Selatan.

“Di sini, kami cuba menyelitkan elemen tarian ini dalam persembahan khusus sebagai satu bentuk variati,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN