fbpx
PASUKAN bola sepak Indonesia menampilkan prestasi membanggakan di peringkat kelayakan Piala Dunia 2026 ketika ini.

Ramai iri hati prestasi hebat Timnas Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANJANG minggu lalu, ‘For You Page’ TikTok penulis dipenuhi dengan video-video parodi dari negara tetangga kita, Indonesia. Pada awal minggu lalu, video-video parodi yang FYP banyak berkisar mengenai pengadil dari Oman, Ahmed Al-Kaf yang bertanggungjawab mengendalikan perlawanan antara Bahrain dan Indonesia di Stadium Nasional Bahrain.

Rata-rata peminat bola sepak di sana menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tindakan pengadil itu yang tidak menamatkan perlawanan pada masa sebenar sehingga membolehkan Bahrain menjaringkan gol penyamaan pada saingan kelayakan Piala Dunia 2026.

Terbaharu, video yang FYP di TikTok penulis lebih menjurus kepada rasa tidak puas hati peminat bola sepak di sana mengenai salah seorang pemain mereka iaitu Asnawi Mangkualam dan jurulatih skuad Garuda, Shin Tae-yong (STY). Kebanyakan mereka mempersoalkan prestasi Asnawi dan tindakan STY yang membuat rotasi pemain pada perlawanan menentang China sehingga menyebabkan pasukan Indonesia tewas mengejut 2-1.

Secara keseluruhannya, penulis cukup terhibur dengan kreativiti penduduk di negara ‘Konoha’ itu menyatakan perasaan mereka terhadap perlawanan bola sepak membabitkan skuad Garuda di dalam media sosial.

Ini jelas membuktikan bahawa penyokong di negara berpenduduk 275.5 juta itu mula obses dengan perkembangan pasukan bola sepak mereka yang dilihat semakin menyinar di peringkat antarabangsa.

Malah, ramai dalam kalangan peminat bola sepak di sana mula bermimpi bahawa skuad Indonesia kali ini mampu lolos ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung di benua Amerika.

Selepas empat perlawanan pada pusingan ketiga Piala Dunia 2026, Indonesia berjaya mengikat tiga gergasi Asia iaitu Arab Saudi, Australia dan Bahrain. Mereka baru tewas sekali iaitu pada China pada perlawanan keempat.

Peningkatan drastik skuad Merah Putih itu adalah hasil ‘air tangan’ Pengerusi Persatuan Bola Sepak Indonesia, Erick Thohir sejak mengambil alih jawatan berkenaan pada 2023.

Thoir berjaya menyakinkan beberapa pemain berpengkalan di Eropah untuk menyarung jersi Garuda menerusi usaha naturalisasi mereka yang mempunyai pertalian darah dari Indonesia.

Antara nama-nama besar yang berjaya dibawa oleh Thoir ialah Sandy Walsh, Rafael Struick, Ivan Jenner, Justin Hubner, Jay Idzes, Tom Haye, Maarten Paes dan Ragnar Oratmangoen.

Perkara yang dilakukan oleh Thoir ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam dunia bola sepak. Hakikatnya, beberapa pasukan gergasi di dunia turut menggunakan kaedah sama seperti Perancis, Jerman dan Sepanyol.

Sebagai rakyat Malaysia, kita pastinya iri hati melihat prestasi semasa skuad Garuda. Disebabkan itu, ramai mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencari pemain berdarah Malaysia di luar negara.

Penulis cukup bersetuju dengan pandangan netizen yang berharap lebih ramai pemain warisan beraksi dengan Harimau Malaysia.

Bagaimanapun, kita perlu akur bahawa proses merekrut pemain warisan untuk bermain dengan skuad kebangsaan bukan semudah disangka kerana perlu melalui proses dokumentasi ketat oleh Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN