fbpx
Mohd. Fazli bersama ibunya melihat barangan yang dipindahkan ke tepi jalan selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Lengkuas di Bukit Pinang, Alor Setar baru-baru ini.

Fenomena ‘supermoon’ jadi igauan mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIK – Rata-rata penduduk di negeri ini bimbang kejadian banjir lebih buruk berlaku ekoran fenomena ‘supermoon’ yang diramal berlaku selama tiga hari bermula esok.

Fenomena yang mengakibatkan kejadian air pasang besar dan serentak dengan cuaca ribut petir itu dijangka membawa hujan lebat di seluruh negeri ini.

Penduduk Kampung Kemelong di sini, Ruziah Mahamud, 55, berkata, dia tidak senang duduk apabila mengetahui terdapat ramalan kemungkinan banyak lagi kawasan akan dilanda bah akibat fenomena ‘supermoon’.

“Memang bimbang kerana ketika ini pun cuaca tidak menentu, langit mendung dan masih berlaku hujan. Tambahan pula rumah saya ini memang kerap dilanda banjir kerana terletak berhampiran Sungai Chepir,” katanya di sini semalam.

Katanya, kejadian banjir terbaharu adalah pada Sabtu lalu apabila keseluruhan rumahnya dinaiki air sehingga paras pinggang.

“Ini merupakan banjir kali keenam tahun ini, dalam rumah hampir paras pinggang, manakala di halaman rumah pula mencecah dada. Saya tidak dapat bayangkan kalau banjir Jumaat ini lebih dahsyat,” ujarnya.

Penduduk Kampung Lengkuas di Bukit Pinang, Alor Setar, Mohd Fazli Abu Bakar, 33, pula berkata, dia baru sahaja menyusun barangan ke dalam rumah selepas terjejas banjir pada 9 Oktober lalu.

“Baru simpan sikit-sikit, tidak selesai sepenuhnya lagi. Buat masa ini terpaksa bersedia kemungkinan banjir lagi kerana cuaca masih tidak menentu, ditambah pula dengan air pasang besar Jumaat ini (esok).

“Banjir paling buruk berlaku pada 2010 yang mana rumah hanya nampak bumbung sahaja,” katanya.

Tambahnya, dalam kejadian banjir baru-baru ini, dia terpaksa memindahkan semua barang di bahu jalan depan rumah yang lebih tinggi.

“Sebahagian barang musnah terendam banjir, namun keluarga saya tidak menerima bantuan wang tunai daripada kerajaan kerana tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Kami bukan tidak mahu berpindah, tetapi semua PPS berhampiran penuh.

“Kami harap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan kepada semua mangsa banjir yang terjejas, bukan hanya kepada mereka yang tinggal di PPS sahaja,” ujarnya.

Ketika ini, empat daerah terjejas di Kedah iaitu Baling, Pendang, Kota Setar dan Pokok Sena.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN