fbpx
Kerajaan digesa supaya mencari kaedah terbaik bagi membantu menstabilkan harga barangan sekali gus mengatasi beban kos sara hidup dihadapi rakyat. - GAMBAR HIASAN

‘Kekalkan, kalau tidak boleh turun harga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAWANG – Golongan B40 me­nuntut agar kerajaan memastikan harga barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak dan telur ayam kekal stabil meskipun tidak mampu menurunkan harganya.

Tinjauan Kosmo! di sebuah pasar raya di sini mendapati, rata-rata golongan B40 menyua­rakan harapan agar kerajaan mencari penyelesaian terhadap masalah kos sara hidup yang semakin meningkat melalui Belanjawan 2025.

Seorang peniaga nasi lemak, Shahdan Mahani, 51, berkata, dia berharap kerajaan ‘mengawal’ harga barangan keperluan yang sudah sedia tinggi.

“Jika penurunan harga tidak dapat dilaksanakan, saya mohon agar harga tersebut dapat dikekalkan pada tahap sekarang,” ujarnya di sini semalam.

Seorang suri rumah, Rohayu Abdullah, 59, turut berkongsi pengalamannya yang terpaksa berjimat dengan mengurangkan belian barang keperluan.

“Dulu, saya boleh membeli 30 biji telur ayam, sekarang terpaksa kurangkan kepada hanya 10 biji.

“Saya juga terpaksa bertukar kepada jenama berbeza untuk menjimatkan kos kerana ada jenama lain lebih murah berbanding jenama yang selalu saya beli,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang kerani, Hazran Ismail, 27, menyatakan bahawa hidupnya kini lebih mencabar akibat kenaikan harga barang.

“Kadangkala, saya terpaksa membuat kerja sampingan bagi menambah pendapatan,” katanya.

Katanya, dia kini membuat pembelian dengan lebih berhati-hati, membeli dalam kadar yang lebih sedikit dan makan mengikut keperluan sahaja.

“Barangan seperti telur ayam, mi­nyak masak dan beras antara barangan yang penting ke­rana itu merupakan makanan ruji bagi seseorang yang menetap di Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya, dia berharap keluhan daripada golongan kurang berkemampuan ini dapat membuka mata pihak kerajaan untuk mencari kaedah terbaik dalam mengurangkan beban kos sara hidup yang meningkat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN