fbpx
SALAH sebuah motosikal yang terbabit kemalangan berhampiran UiTM Dungun Rabu lalu.

Keluarga perlu bantu pesakit mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Keluarga serta orang terdekat kepada pesakit yang mengalami masalah mental perlu lebih cakna dan memainkan peranan besar bagi memastikan mereka berada dalam keadaan stabil dan tidak membahayakan orang sekeliling.

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta Honda CRV dipandu seorang wanita yang mengalami masalah kesihatan mental.

Berita penuh duka dan tragis itu mencetuskan amarah serta pelbagai tanda tanya daripada orang ramai tentang bagaimana seorang pesakit mental boleh dibenarkan berkeliaran serta memandu kenderaan sehingga membahayakan orang lain.

Meninjau komen di pelbagai sosial media, ada juga pihak yang meminta kerajaan mengkaji semula perundangan dan menggubal akta rentetan kemalangan melibatkan individu yang mengalami masalah mental semakin meningkat.

Dalam kejadian tragis sebegini, siapakah yang harus dipersalahkan dan perlu dipertanggungjawab atas nyawa yang telah terkorban?

Bagaimanapun, penulis juga berpendapat bahawa mereka yang mengalami masalah mental perlu diberi lebih perhatian daripada keluarga serta orang sekeliling bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku sama ada pada diri mereka atau orang lain.

Selain itu, orang terdekat juga perlu mengambil inisiatif seperti sentiasa membawa mereka berjumpa dengan pakar psikiatri bagi pemantauan lebih terperinci.

Menurut Pegawai Perubatan, Muhammad Alif Md. Zaki, seseorang pesakit mental perlu menjalani beberapa prosedur bersama pakar psikiatri serta terdapat beberapa borang tertentu yang perlu diisi sebelum dimasukkan ke wad psikiatri.

“Sekiranya mereka ‘tidak sihat’, ada beberapa prosedur yang mesti dipenuhi, borang yang kena isi barulah melayakkan pesakit untuk masuk ke hospital.

“Terdapat lima borang yang akan diisi oleh pakar sama ada Borang 1, Borang 2, Borang 3, Borang 4 dan Borang 5 yang mana setiap borang itu membawa maksud berbeza,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, Borang 5 adalah perintah kemasukan sebagai pesakit tidak sukarela ke hospital oleh pegawai atau pengamal perubatan berdaftar yang hanya digunakan bersama Pol 57/Pol 59 yang dikeluarkan polis sekiranya pesakit ditahan polis atas sebab membahayakan orang atau merosakkan harta benda awam.

“Bagi proses ini (prosedur), ia tidak mengambil masa lama dan bergantung kepada doktor bertugas untuk menetapkan borang yang perlu diisi sesuai dengan keadaan pesakit.

“Keluarga dan orang sekeliling memainkan peranan penting kerana pesakit tidak tahu keadaan mereka sama ada boleh bawa mudarat kepada orang di sekitar mereka. Sekiranya keadaan mereka tidak stabil maka keluarga perlu bawa mereka ke hospital,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta orang ramai memberi ruang kepada polis dan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lebih terperinci terhadap kes kemalangan yang berlaku pada malam Rabu lalu.

“Untuk kes ini (kemalangan di Dungun), kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat secara lebih terperinci,” pesannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN