fbpx
Sukarelawan mengorek pasir bagi mengambil anak-anak penyu yang berjaya ditetaskan di dalam sarang.

Bakti stesen penyelidikan penyu Pulau Redang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PANTAI Chagar Hutang yang terletak di bahagian paling utara Pulau Redang, Kuala Nerus, Terengganu merupakan ‘syurga’ bagi penyu untuk bertelur sejak program konservasi dirintis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 31 tahun lalu.

Sebanyak 9,203 sarang penyu spesies agar dan karah telah direkodkan di pantai terbabit dalam tempoh 2019 hingga tahun lalu.
Purata 70 peratus daripada lebih 900,000 biji telur ibu penyu yang mendarat di Pantai Chagar Hutang berjaya ditetaskan sebelum dilepaskan semula ke pantai sejak lima tahun lalu.

Ketua Penyelidik, Unit Penyelidikan Penyu Laut (Seatru) Institut Oseanografi dan Sekitaran (Inos) UMT, Prof. Madya Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, pusat santuari penyu itu merupakan salah satu makmal kajian luar universiti awam terbabit.

Beliau berkata, sejak digazetkan sebagai pusat santuari penyu pada tahun 2005, kemasukan pengunjung ke pantai berkenaan juga telah dihadkan sehingga pukul 3 petang bagi mengurangkan gangguan terhadap proses persarangan penyu yang lazim berlaku sebelah malam.

“Stesen penyelidikan penyu ini mula dibuka khas untuk penyelidik UMT pada 1993. Ia dibina di pesisir pantai sepanjang 350 meter dengan memiliki kemudahan stesen penyelidikan, kuarters petugas dan sukarelawan serta galeri.

“Kita juga memperkenalkan kelas berkonsepkan ‘outdoor’ (terbuka) untuk pengunjung atau sukarelawan mendengar taklimat konservasi daripada penyelidik bertauliah,” katanya kepada Panorama

Mohd. Uzair berkata, UMT kemudian mengambil inisiatif memperkenal program sukarelawan berbayar pada tahun 1998 bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan penyu.

Sukarelawan akan melakukan kerja-kerja konservasi di stesen itu antaranya memantau pantai dari pukul 6 petang hingga 6 pagi, mengumpul telur dan anak penyu, mengambil data, melepaskan penyu ke pantai dan lain-lain.

Ia satu pendekatan memberi peluang kepada pelancong atau pengunjung pantai untuk menjadi sukarelawan bantu konservasi penyu.

Program tersebut bagaimanapun memerlukan seseorang yang berminat menjadi sukarelawan itu membuat bayaran kepada UMT.

Tambah Mohd. Uzair, program tersebut juga serampang dua mata bagi menampung kos operasi stesen terbabit yang dianggarkan menelan belanja lebih RM250,000 setahun.

“Program sukarelawan tersebut semakin mendapat sambutan dengan penyertaan lebih 5,000 peserta sejak mula diperkenalkan 25 tahun lalu.

“Setiap tahun ia melibatkan antara 380 sehingga 400 sukarelawan pada penganjuran program pada antara bulan April hingga Oktober iaitu musim penyu bertelur,” ujarnya.

Mohd. Uzair berkata, hanya 15 peserta dibenarkan dalam satu-satu masa demi kelestarian Stesen Penyelidikan Penyu Chagar Hutang.

Jelas beliau, caj dikenakan bagi program sukarelawan berbayar itu ialah RM680 seorang untuk program selama lima hari empat malam.

“Ia menawarkan pengalaman luar biasa kepada sukarelawan mendalami ilmu konservasi bersama penyelidik dan renjer bertugas,” katanya.

Mohd. Uzair berkata, Seatru tidak pernah ketandusan sukarelawan sejak program sukarelawan berbayar diperkenalkan. Seramai 420 peserta dijangka mengunjungi Pantai Chagar Hutang sebagai sukarelawan sepanjang tahun ini.

Pembantu penyelidik Seatru, Nicholas John Tolen berkata, program konservasi penyu di Pantai Chagar Hutang menunjukkan hasil positif dengan kuantiti sarang dan penetasan telur didapati meningkat setiap tahun.

Kelas ‘outdoor’ yang menerangkan kerja-kerja pemuliharaan penyu dihadiri sukarelawan berbayar.

Pemuda kelahiran New York, Amerika Syarikat itu berkata, antara faktor kejayaan tersebut adalah keberkesanan program sukarelawan yang memberi tenaga kerja, keunikan Pantai Chagar Hutang serta usaha keras para penyelidik dan renjer.

“Saya mula mengkaji spesies penyu di benua Afrika, Caribbean dan Bahamas sejak 12 tahun lalu sebelum menyertai Seatru pada tahun 2019 sebagai siswazah penyelidikan.

“Pantai Chagar Hutang ini memiliki banyak keistimewaan. Jika di Afrika terlalu banyak pemburu haram dan hutan tebal, pantai ini sebaliknya lebih damai sekali gus mendorong penyu mendarat setiap malam.

“Berbanding hanya sekitar 500 sarang penyu pada tiga dekad lalu, Pantai Chagar Hutang kini mencatat peningkatan tiga kali ganda iaitu 1,500 sarang setiap tahun,” katanya.

John Tolen berkata, stesen penyelidikan dirintis UMT akan memberi impak positif untuk jangka panjang dalam memastikan kelestarian spesies penyu.

John Tolen kini sedang mengkaji spesis yu sirip hitam atau ‘blacktip reef shark’ yang merupakan antara pemangsa utama penyu di perairan berhampiran Pantai Chagar Hutang.

Sementara itu, seorang sukarelawan, Adrian Lim Wei Han, 23, berkata, pengalaman empat malam di Pantai Chagar Hutang tidak ternilai jika dibandingkan ratusan ringgit yang dikeluarkannya.

Graduan sebuah universiti di Kuala Lumpur itu berkata, banyak ilmu baharu dipelajari berkaitan program konservasi spesies penyu yang kini diancam kepupusan diperoleh.

“Tidak ramai sanggup keluar duit untuk jadi sukarelawan terutama golongan muda tetapi program ini buka mata saya tentang kepentingan penyu dalam ekosistem marin.

“Pada awalnya rancangan saya ke sini hanya untuk bercuti dan bersuka ria sebaliknya menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN