Nur Alia menunjukkan gambar adiknya yang menjadi mangsa dera ketika ditemui di Bagan Serai semalam.

Adik didera lepas abah kahwin lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGAN SERAI – Seorang gadis tidak dapat menahan rasa sedih dan terkilan kerana mendakwa bapanya tidak melindungi adik­nya sehingga kanak-kanak itu lunyai ‘dikerjakan’ isteri yang juga ibu tiri mereka.

Gadis dikenali sebagai Nur Alia, 21, berkata, dia sangat kecewa apabila mendapat tahu adik lelakinya yang berusia enam tahun didera ketika berada di sebuah rumah di Taman Permai Kalum­pang di sini daripada bapa saudaranya kelmarin.

Katanya, adiknya pergi ke Sekolah Kebangsaan Dato’ Masud dalam keadaan tidak bermaya dan mengalami bengkak serta lepuhan pada ke­dua-dua belah tangannya.

“Sebaik dimaklumkan, saya dan beberapa bapa saudara telah ke rumah ibu tiri di Taman Permai Ladang Kalumpang untuk membawanya pulang.

“Dia marah saya mahu bawa adik dan mengancam untuk menikam dengan gunting, namun dihalang oleh bapa saudara. Kami segera bawa adik yang ce­dera pada beberapa bahagian tubuh lain ke klinik,” katanya ketika ditemui.

Menurut Nur Alia, dia kemudiannya membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Gadis itu kesal kerana selama dia membesarkan adik­nya selepas kematian ibu mereka pada 2020, bapanya tidak pernah memukul atau naik tangan terhadap mereka empat beradik.

“Bapa bukan jenis panas baran. Dia seorang yang baik, pendiam dan rajin bekerja mencari nafkah untuk kami empat beradik.

“Namun, sikap bapa berubah selepas berkahwin de­ngan ibu tiri setahun kemudian sehingga mengabaikan nafkah kami dan dihalang berhubung dengannya,” katanya.

Ujar Nur Alia, selain nombor telefon disekat, talian bapanya turut ditukar selain salah seorang adiknya pernah dihalau ketika cuba pergi ke rumah mereka di Ladang Kalumpang.

“Saya tidak tahu apa punca bapa berubah. Dia ambil adik pada Februari lalu dengan alasan senang hendak hantarnya ke tadika di Jalan Banjar. Sejak itu kami tidak tahu keadaannya sehinggalah dimaklumkan oleh bapa saudara yang dia didera,” katanya.

Menurut Nur Alia, dia berharap si pelaku akan dikenakan hukuman yag maksimum kerana adiknya mengalami ba­nyak kecederaan akibat pende­raan tersebut.

“Mengapa bapa sanggup te­ngok adik didera? Sampai hati tak lindungi dia yang masih kecil. Apa dosa dia sehingga ditekap dengan benda panas dan lengannya melepuh?” soalnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, pasangan berusia 33 dan 47 tahun tersebut direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a)Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Mereka ditahan pada pukul 5.30 petang Khamis lalu. Kita turut merampas peralatan untuk mendera dan tiga botol air ketum. Mangsa cedera pada muka, dada, perut, kedua belah ta­ngan, kaki dan paha akibat dipukul,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN