MEMANCING sudah menjadi hobinya sejak kecil yang dikongsi bersama bapa sejak dirinya berusia 10 tahun.
Menerusi memancing, Prem Kumar bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan anak-beranak tetapi juga menjalin persahabatan dengan ramai orang daripada pelbagai kaum.
Menurut pemuda asal Kuala Lumpur, Prem, 30, minat memancing banyak dipengaruhi oleh bapanya yang turut menjadikan memancing sebagai hobi sehingga kini.
“Ayah banyak ajar saya tentang memancing dan sejak kecil dia sering membawa saya bersamanya, malah hingga hari ini saya masih keluar memancing bersamanya.
“Memancing sudah menjadi aktiviti masa lapang dan jika ada masa, saya akan ke kolam memancing berhampiran atau laut untuk melakukannya. Setiap kali keluar pasti akan kenal dengan ramai kawan baharu,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Tambahnya, menerusi persahabatan yang terjalin dalam hobinya itu, dia juga banyak belajar tentang teknik memancing yang mana sangat membantunya bagi mendapatkan hasil di setiap lubuk.
Kongsinya lagi, dalam memancing, semua orang tahu kesabaran itu penting terutama jika memburu di kolam memandangkan teknik yang biasa digunakan adalah bermain dasar.
Namun begitu, selain kesabaran, memahami teknik dan juga peralatan yang bersesuaian juga perlu diambil perhatian serta penggunaan umpan yang betul.
Kata bapa kepada dua cahaya mata itu, sepanjang dia memancing terutama di kolam-kolam komersial, dia akan memberi perhatian terhadap umpan bersesuaian mengikut lokasi yang dikunjunginya.
“Biasanya kalau memancing di kolam ikan air tawar tidak kira kolam berbayar atau lubuk liar (tasik atau lombong), pemancing akan menggunakan umpan bancuhan dedak.
“Umpan ini amat penting dalam memancing kerana ia dapat memikat ikan dan di setiap kolam selera ikan berbeza-beza,” ujarnya.

Jelasnya lagi, perbezaan selera ikan di setiap kolam juga bergantung kepada diet yang diberikan oleh pemilik kolam atau jenis umpan yang biasa digunakan oleh pemancing yang datang ke kolam atau lubuk berkenaan.
Dalam membancuh umpan, dedak akan dicampur dengan beberapa bahan lain antaranya perasa strawberi, pandan, minyak ikan belacak dan lain-lain bergantung kepada resipi pemancing itu sendiri.
Biasanya umpan ini akan dibancuh setelah para pemancing tiba di kolam ikan dan nisbah bancuhan akan bergantung kepada bagaimana reaksi ikan di kolam berkenaan.
“Jika sampai di kolam saya akan bancuh umpan mengikut resipi yang biasa saya gunakan terlebih dahulu dan jika ia tidak berhasil memikat ikan, saya akan mengolah bancuhan dengan menambah atau mengurangkan mana-mana bahan lain dalam resipi.
“Bancuhan ini akan berubah-ubah sehingga ikan terpikat dan memakan umpan yang digunakan, namun begitu jika pemancing mahu memburu ikan seperti toman dan haruan, biasanya tidak perlu guna dedak tetapi boleh sahaja guna katak atau anak ikan sahaja,” kongsinya yang gemar memburu ikan rohu.
Terang Prem, dia yang banyak mempelajari teknik membancuh umpan daripada kawan-kawan dikenali ketika berkunjung ke kolam memancing akan mengambil masa sehingga dua tahun untuk betul-betul mahir.
Kongsinya lagi, dalam memancing juga perlu sentiasa merendah diri dan ringan mulut untuk bertanya kerana ilmu tidak datang bergolek.
Pada masa sama, pemancing juga perlu sentiasa terbuka untuk berkenalan dengan pemancing lain.















