SEREMBAN – Seorang jurusolek didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal patah kaki terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan anak angkatnya berusia enam tahun, dua tahun lalu.
Tertuduh, S. Asok Kumar, 35, yang juga transgender bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ketika kejadian sehingga menyebabkan kecederaan fizikal iaitu patah kaki kanan.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Desa Rusa, Batu 4, Port Dickson lebih kurang pukul 7.30 petang pada 3 November 2022.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd Radzuan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Port Dickson sekali sebulan sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 November depan.
Dalam pada itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang tukang kemas bilik hotel tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa sama pada September lalu.
Tertuduh, T.C. Peter, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyebabkan kecederaan fizikal ke atas kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di lokasi sama kira-kira pukul 10 malam, 30 September lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada 8 Oktober lalu, media melaporkan jurusolek antara tiga lelaki yang ditahan polis susulan penemuan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dalam keadaan tanpa pakaian dengan kesan luka pada badan dalam bilik sebuah rumah di Batu 4, Port Dickson baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE














