PETALING JAYA – Anak Allahyarham Kamarudin Shamsuddin yang mati dibunuh bersama Datuk Sosilawati Lawiya dan dua yang lain melahirkan rasa lega apabila akhirnya ‘hutang darah dibayar dengan darah’ selepas pembunuh empat individu itu kekal ke tali gantung.
Irfan Aiman, 22, berkata, dia lega apabila Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan hukuman mati itu kerana menyifatkan pembunuh itu terlalu kejam.
“Lama saya tanggung sakitnya rindu, hutang darah mesti dibayar dengan darah. Ketika itu saya berusia lapan tahun dan kesan pembunuhan itu mula dirasai ketika saya menginjak dewasa.
“Ketika kecil saya ingat wartawan selalu datang ke rumah. Maklumat saya dapat pun tak banyak dan hanya menangis bila lihat keluarga lain menitiskan air mata,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Irfan Aiman, ketika itu dia tinggal bersama ibu serta bapa saudara di Kuantan, Pahang dan hanya sesekali berjumpa bapanya, namun lelaki itu sering melawat dan luangkan masa bersama.
Tambahnya, beberapa hari sebelum kejadian, arwah bapanya ada ziarah dan membawanya bersiar-siar membeli kelengkapan hari raya di sekitar Kuantan.
“Sungguh saya tak sangka ia merupakan pertemuan terakhir kami. Ketika itu ayah ada cakap, beli dan ambil apa saja yang saya mahu kerana lepas ini susah nak beli.
“Saya tidak faham masa tu tetapi bila sudah dewasa, baru saya mengerti kata-kata ayah,” katanya.
Irfan Aiman yang sudah berkahwin dua tahun lalu berkata, arwah mak ciknya ada memberitahu, ketika itu dia perasan bapanya kelihatan ‘berat’ mahu pulang ke Kuala Lumpur untuk kembali bekerja.
“Itu yang membuatkan saya bertambah sedih kerana ayah seorang yang sangat penyayang. Saya reda tetapi sering sebak setiap kali terkenangnya arwah lebih-lebih lagi selepas pemergian mak cik dan pak cik yang menjaga saya sejak kecil,” katanya.
Menurut Irfan Aiman, pak ciknya meninggal pada 2016 akibat kanser darah disusuli mak ciknya akibat tumor pada Mac lalu.
“Syukur ada isteri yang boleh menenangkan perasaan saya ketika sedih. Kehilangan yang dialami ketika kecil membuatkan saya untuk terus kuat meneruskan kehidupan,” katanya yang dikurniakan seorang anak perempuan berusia enam bulan.
Kamarudin, 44, dibunuh bersama Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, di Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting, Selangor antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Selepas siasatan selesai, beberapa individu termasuk seorang peguam dan pekerja ladangnya didakwa.
Kes itu berakhir apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas N. Pathmanabhan, 54, dan T. Thilaiyalagan, 32. Turut digantung ialah R. Kathavarayan, 44.
Kesemua tertuduh didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei 2013.














