fbpx

Majikan tidak sedia waktu solat Jumaat mencukupi berdepan tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

JOHOR BAHRU – Majikan di negeri ini diminta patuh titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan menyediakan waktu solat Jumaat mencukupi bagi pekerja beragama Islam apabila pertukaran cuti hujung minggu dibuat bermula 1 Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, jika ingkar, tindakan boleh diambil terhadap majikan terbabit.

“Seperti yang telah dititah, kami akan adakan sesi libat urus lebih mendalam dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta pemain industri dan pihak majikan dalam waktu terdekat agar titah ini dapat dilaksana dengan efektif.

“Semua pekerja Muslim perlu diberi ruang dan masa secukupnya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam khususnya waktu solat Jumaat. Oleh itu, pihak industri dan majikan yang tidak beri ruang secukupnya, akan berdepan tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemukan pada program Green Legacy Johor Summit 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini. \

Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar cuti hujung minggu di negeri ini ditukar kembali kepada hari Sabtu dan Ahad, bermula 1 Januari depan.

Titah baginda, perkara itu telah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Mengulas lanjut Ting Han berkata, pertukaran cuti hujung minggu Johor itu disambut baik bukan sahaja oleh golongan pekerja dan ibu bapa tetapi juga sektor swasta dan perbankan.

“Pertukaran ini akan meningkatkan produktiviti Johor secara keseluruhan apabila waktu bekerja selari bagi pentadbiran kerajaan dan juga sektor ekonomi dan perbankan dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Sektor runcit juga akan terima impak positif apabila ibu bapa dapat meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak pada hari cuti Sabtu dan Ahad,” jelasnya lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI