fbpx
Anak tunggal Sarah memusuhi Sarah apabila mengetahui dirinya merupakan anak luar nikah atas dosa lampau Sarah. – gambar hiasan

Wanita terkilan dibenci anak atas dosa lampau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA usia menginjak 40 tahun, dalam fikiran Sarah (bukan nama sebenar), dia sepatutnya mempunyai keluarga yang bahagia, anak-anak yang sedang membesar dan kerjaya yang stabil.

Namun, siapa sangka takdir hidupnya tidak begitu dan Sarah hanya mampu menyalahkan diri sendiri.

Ujar Sarah, kesilapan masa lampaunya telah menyebabkan dia kini hidup susah dan terpaksa membesarkan seorang anak perempuan yang amat membencinya.

“Setiap hari saya dimarahi anak perempuan yang tidak berpuas hati kerana terpaksa hidup susah, selain tidak boleh menerima hakikat bahawa dia merupakan anak luar nikah hasil dosa lampau saya.

“Jika boleh diputarkan semula masa, banyak perkara yang mahu saya ubah kerana saya betul menyesal,” kata wanita tinggi lampai itu.

Mengimbas kembali zaman remajanya, Sarah merupakan seorang gadis yang cantik, manja dan sentiasa ceria.

Dia juga tidak takut mencuba perkara baharu dan berpegang pada prinsip bahawa hidup hanya sekali.

Namun, sikap tersebut ternyata membawanya kepada kancah dosa yang seterusnya memakan dirinya sendiri.

“Selepas menamatkan sekolah menengah, saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah universiti awam di ibu kota.

“Gadis kampung seperti saya sudah tentunya seronok kerana selain dapat sambung belajar, saya melihat tawaran itu sebagai peluang saya merasa hidup di kota,” ungkapnya.

Sarah kemudian mula bergaul bebas dan mula berkenalan dengan Zul (bukan nama sebenar) yang ketika itu merupakan seorang pekerja di sebuah syarikat swasta.

Lebih dua tahun berpacaran, kedua-dua mereka kemudiannya terlanjur dan Sarah disahkan hamil ketika sudah berada di tahun akhir pengajiannya.

Panik, Sarah meminta Zul untuk mengahwininya, namun Zul menolak dengan alasan tidak bersedia, selain berkali-kali menyoal Sarah adakah benar anak dalam kandungan itu merupakan anaknya kerana enggan bergelar ‘pak sanggup’.

“Saya kecewa dengan jawapan Zul kerana tiba-tiba dia berubah hati dan menuduh saya mungkin ada hubungan dengan orang lain biarpun dia tahu kami sering bersama.

“Benarlah, lelaki hanya mahu berseronok dan enggan bertanggungjawab apabila berlaku perkara sebegini. Saya terpaksa membawa diri pulang ke kampung dan memilih untuk berterus terang dengan keluarga tentang kandungan ini.

“Malangnya, ayah terus jatuh sakit selepas mendapat tahu tentang perbuatan saya, manakala ibu pula enggan menerima atau menjaga saya serta anak dalam kandungan ketika itu.

“Akhirnya, saya nekad berhenti belajar dan menggunakan wang yang ada untuk menyewa bilik kecil seorang diri sehingga anak saya lahir,” katanya.

Beberapa bulan selepas bergelar ibu, bersama wang simpanan yang semakin menyusut, Sarah terpaksa bekerja untuk menampung kehidupan bersama anaknya.

“Macam-macam kerja saya buat, saya bekerja di restoran, membantu teman serumah saya berniaga dan juga menjadi pengasuh di kawasan kejiranan saya.

“Wang itulah yang digunakan untuk membesarkan anak saya sehingga dia mampu bersekolah.

“Hubungan kami cukup rapat dan dialah segala-galanya buat saya. Tidak terdetik dalam hati untuk mencari bapa buat anak saya kerana cukuplah saya kecewa dengan sikap Zul dahulu,” katanya.

Begitu pun, ketika anak perempuannya berusia 15 tahun, dia mendapat tahu bahawa dirinya merupakan anak luar nikah dan tidak dapat menerima hakikat itu.

“Anak perempuan yang sudah besar dan faham banyak perkara mulai bertanya saya tentang status dirinya, di mana bapanya dan sebagainya.

“Tiada pilihan, saya kemudian ceritakan semua sejarah hidup kepadanya dan ternyata dia sama sekali tidak boleh menerima perkara tersebut.

“Malah, dia juga sudah hilang hormat terhadap saya dan melihat saya sebagai wanita jijik dan tidak layak bergelar ibunya,” luahnya.

Sejauh mana pun rasa kesal Sarah terhadap tindakan dan jalan hidupnya, dia tidak boleh mengubah perkara tersebut menjadikan dia cukup sedih.

Hubungan bersama anaknya menjadi renggang dan dia yang berusia awal 20-an itu sanggup tinggal berasingan di luar kerana enggan tinggal sebumbung dengan ibunya.

Keadaan kewangan dan kerjaya yang masih belum stabil, hilang ahli keluarga dan kini diuji pula dengan anak yang amat membencinya, Sarah akui ia mungkin balasan atas dosa lampaunya.

“Saya hanya mampu berdoa agar satu hari nanti anak saya yang juga merupakan satu-satunya insan yang saya ada di dunia ini boleh memaafkan saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN