BAGI sesetengah pemilik kediaman, keputusan menggabungkan sekurang-kurangnya dua konsep pilihan dalam tata hias rumah perlu difikirkan sebaiknya kerana konsep yang tidak ‘kena’ pastinya akan menjejaskan suasana kediaman.
Gabungan konsep pilihan haruslah harmoni, bagi menjadikan kediaman yang dihuni penuh tenang dan terasa homey.
Bagi pasangan suami isteri menetap di sebuah kediaman jenis berkembar di Kuala Terengganu yang hanya mahu dikenali Syarifah Amirah, 35, dan suaminya Sayed Abdul Rahman, 35, konsep yang dipilih bagi kediaman mereka adalah gabungan daripada konsep industri, moden dan juga klasik.
Ujar Syarifah Amirah, konsep pilihan itu mencipta suasana tenang dan sedap mata memandang.
“Jika bercakap tentang konsep pilihan, konsep kediaman pilihan kami adalah industri dan moden dengan sedikit sentuhan klasik menerusi beberapa barangan perhiasan yang ditampilkan.
“Sebenarnya, ia lebih kepada konsep campur aduk sahaja asalkan sedap mata memandang,” ujar Syarifah Amirah.
Saat kaki melangkah masuk ke kediaman Syarifah Amirah, limpahan rona hijau zaitun akan menerpa anak mata dan mencetus suasana damai.
Rona itu menjadi rona utama yang diterapkan pada ruangan dinding di ruang tamu.
Pemilihan lantai kayu bagi hampir keseluruhan ruang kediaman pula menyerlah estetika klasik pada tata hiasnya.
Padanan sofa daripada rona coklat muda pula menjadikan suasana ruang itu tampak redup dan mendamaikan, sesuai untuk bersantai bersama seisi keluarga. Elemen batu bata pada satu sudut dinding selain penggunaan material besi mewakili konsep industri.
Di beberapa sudut pula, Syarifah Amirah meletakkan hiasan berupa pohon-pohon hijau sebagai menyuntik elemen semula jadi.
Hamparan permaidani bercorak ringkas pula diletakkan pada ruangan itu bagi mengelakkan ia nampak terlalu polos.

Menurut wanita itu, sumber inspirasinya dalam menata hias sudut kediaman adalah daripada carian internet, aplikasi Pinterest dan juga komuniti penghias rumah di Facebook.
“Bercakap tentang inspirasi kediaman, saya banyak mengambil inspirasi daripada rakan-rakan dan komuniti di Facebook yang sama-sama sakan menghias rumah seperti saya.
“Selain itu, saya juga banyak mengambil inspirasi daripada Pinterest.
“Daripada situ, saya mula berkarya dan menterjemahkan konsep pilihan sendiri pada kediaman seluas 167.2 meter persegi ini,” ujarnya.
Masih mengekalkan tema hijau pada satu sudut di dalam kediaman itu, Syarifah Amirah meletakkan dua unit kerusi rehat daripada rona hijau zamrud yang kelihatan cukup menyerlah.
Malah, rona coklat gelap pada pintu kayu di sebelahnya pula kelihatan cukup sedondon, sekali gus menyerlahkan elemen moden, industri dan klasik yang dipilih.
Berkongsi tentang sudut kegemarannya pada kediaman itu, Syarifah Amirah berkata, memandangkan dia menghias kediamannya sendiri, semua sudut pada kediaman itu menjadi sudut kegemarannya disebabkan kesemuanya mempunyai ceritanya yang tersendiri.
“Kebanyakan sudut dalam kediaman ini dihias sendiri oleh saya dan suami. Sebagai contoh, kami D.I.Y sendiri dinding wainscoting pada ruang tamu kediaman,” jelasnya.
Hasilnya, ruangan tersebut tampak mewah dan mempunyai karakter tersendiri.
Bercerita tentang kos pengubahsuaian pula, Syarifah Amirah berkata, dia tidak begitu pasti memandangkan semua proses dekorasi dilaksanakan sedikit demi sedikit dan secara berperingkat.
Wanita itu juga menjelaskan setakat ini, dia masih berpuas hati dengan konsep pilihan.
“Saya berpuas hati dengan terjemahan konsep pilihan ini dan sedang dalam perancangan untuk menyiapkan ruang patio di belakang rumah,” katanya.














