ISU keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak semakin menjadi sorotan dengan pelbagai kes dilaporkan berlaku sejak akhir-akhir ini.
Dengan peningkatan kes yang berlaku, kanak-kanak kini dilihat semakin tidak selamat untuk berada di luar rumah, selain memerlukan penjagaan lebih rapi setiap masa.
Meskipun Malaysia masih memiliki persekitaran selamat dan ideal untuk kanak-kanak, terdapat juga negara yang dilaporkan sebagai tempat paling berbahaya terhadap golongan itu terutama melibatkan kes seksual.
Berdasarkan penyelidikannya dan laporan rasmi, terdapat beberapa negara merekodkan kadar penderaan seksual kanak-kanak yang tinggi.
Sehubungan dengan itu, minggu ini Panorama menyenaraikan lima negara yang mempunyai kes seksual kanak-kanak tertinggi berdasarkan beberapa rujukan termasuk dalam portal ibtimes.co.uk dan insidermonkey.
1. Afrika Selatan
Afrika Selatan merekodkan anggaran lebih 3,000 kes rogol dan serangan terhadap kanak-kanak pada setiap tahun.
Berdasarkan laporan kesatuan sekerja, Solidarity Helping Hand pada tahun 2009, negara tersebut merekodkan seorang kanak-kanak dirogol setiap tiga minit.
Menerusi perkongsian daripada portal Independent, tinjauan oleh Majlis Penyelidikan Perubatan mendapati bahawa satu daripada empat lelaki mengaku merogol seseorang kanak-kanak.
Dianggarkan 62 peratus lelaki berusia lebih 11 tahun pernah memaksa seseorang untuk melakukan hubungan seks, manakala satu pertiga lagi percaya bahawa kanak-kanak perempuan ‘menikmati’ apabila dirogol.
2. India
Dari 2001 hingga 2011, India menyaksikan peningkatan yang ketara dalam kes penderaan kanak-kanak dengan lebih 48,000 kes rogol direkodkan. Ini menunjukkan peningkatan bilangan kes daripada 2,113 kes kepada sekitar 7,500 kes pada 2011.
Dalam laporan India’s Hell Holes: Child Sexual Assault in Juvenile Justice Homes pada tahun 2013, Pusat Hak Asasi Manusia Asia berkata, kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di India telah mencapai kadar wabak.
Pada 2012, Parlimen India meluluskan Akta Perlindungan Kanak-Kanak daripada Kesalahan Seksual yang menggabungkan prosedur mesra kanak-kanak untuk melaporkan, merekodkan bukti, penyiasatan serta perbicaraan kesalahan.
Menurut kajian oleh kerajaan India terhadap hampir 12,500 kanak-kanak, 53 peratus golongan itu pernah menjadi mangsa penderaan seksual.
3. Zimbabwe
Dalam tempoh empat tahun, Zimbabwe secara rasmi merekodkan 30,000 kes penderaan dan rogol kanak-kanak dengan rekod tertinggi berlaku di Harare.
Jurucakap polis di Zimbabwe, Asisten Komisioner Charity Charamba sebelum ini pernah berkongsi dengan portal NewsdeZimbabwe bahawa kes rogol terhadap kanak-kanak terus meningkat di negara itu.
Berdasarkan perbandingan untuk dua minggu pada 2012, kes (rogol) dilaporkan semakin meningkat kepada 81 kes daripada 65 kes rogol dalam kalangan saudara-mara.
Antara tahun 2010 hingga 2011 pula terdapat peningkatan kes rogol juvana daripada 2,883 kepada 3,172 kes direkodkan di seluruh negara.
Berdasarkan laporan, portal Guardian, sebuah klinik di Harare pernah berkongsi bahawa pusat perubatan itu telah merawat hampir 30,000 kanak-kanak yang telah didera dalam tempoh empat tahun.
4. Britain
Menurut angka yang dikongsikan oleh Scotland Yard, pada tahun 2000, satu perempat juta rakyat Britain atau lebih seorang dalam setiap 200 dewasa adalah pedofil.
Berdasarkan perkongsian Persatuan Kebangsaan untuk Pencegahan Kekejaman terhadap Kanak-kanak (NSPCC) pada 2012/13, terdapat 18,915 jenayah seksual terhadap kanak-kanak bawah 16 tahun direkodkan di England dan Wales.
Ini termasuk 4,171 kesalahan serangan seksual ke atas kanak-kanak perempuan bawah 13 tahun dan 1,267 kesalahan serangan seksual ke atas kanak-kanak lelaki bawah 13 tahun. Di Britain, satu daripada 20 kanak-kanak (4.8 peratus) pernah mengalami penderaan seksual.
5. Amerika Syarikat
Menurut Children, Pusat Penilaian Kanak-Kanak (CAC) menjangkakan 500,000 bayi yang dilahirkan di Amerika Syarikat (AS) berpotensi didera secara seksual sebelum mereka mencapai umur 18 tahun.
Biro Kanak-Kanak Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS juga mendapati bahawa 16 peratus orang muda berumur 14 hingga 17 tahun telah menjadi mangsa seksual.
Kajian retrospektif dewasa menunjukkan bahawa satu daripada empat wanita dan satu daripada enam lelaki telah didera secara seksual sebelum berumur 18 tahun.














