SAMSIAH melakukan penjilidan buku atau book binding dengan menggunakan teknik jahitan di studionya di Kuala Lumpur. – Foto Ihsan LITTLESYAM

Kreativiti seni jahitan ‘binding’ buku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAHIRAN menghasilkan sesuatu yang diberi sentuhan peribadi pastinya memberi nilai tambah kepada suatu barangan.

Apatah lagi, jika penghasilannya eksklusif kerana tidak boleh didapati dari tempat-tempat lain dan tidak boleh dihasilkan untuk kali kedua.

Minat terhadap seni book binding atau penjilidan buku yang diberi sentuhan kreativiti tersendiri menjadikan nama Samsiah Jendol, 51, terkenal sebagai antara mereka yang menawarkan khidmat unik itu.

Penjilidan buku merujuk kepada proses mengikat helaian kertas sebelum diletakkan di dalam kulit buku asal atau dibuatkan kulit buku baharu bagi menghasilkan sebuah buku buatan tangan sepenuhnya.

Apa yang diusahakan Samsiah begitu istimewa kerana penjilidan atau ‘pengikatan’ buku itu melibatkan proses jahitan. Hasilnya ialah buku atau jurnal dengan rekaan naskhah dan kulit depan yang cukup unik.

Mereka yang mendapatkan khidmatnya lazimnya memiliki buku yang sudah rosak, bercerai-cerai atau mereka yang memerlukan penjilidan lembaran-lembaran atau cetakan-cetakan kertas untuk dijadikan naskhah.

Kongsi wanita berasal dari Gemas, Negeri Sembilan itu, penjilidan buku umpama terapi baginya.

Didorong oleh minatnya terhadap seni sejak kecil, Samsiah kemudiannya nekad menjadikan khidmat tersebut sebagai punca pendapatannya kini.

“Saya mula mempelajari tentang seni book binding atau penjilidan buku ini semasa menuntut di School of Art, Whanganui, New Zealand pada 1993.

“Saya juga pernah memberitahu diri saya bahawa satu hari nanti, saya mahu menggunakan kemahiran yang saya pelajari itu untuk memulakan perniagaan saya sendiri.

“Ia kemudiannya menjadi punca pendapatan saya sejak 2008 selepas saya berhenti kerja daripada sektor swasta,” katanya kepada K2.

Pengalaman Samsiah sebagai pereka grafik turut memberi kelebihan dalam proses pemuliharaan atau penjilidan buku.

Kini, Samsiah beroperasi sepenuhnya di studio miliknya di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur untuk menghasilkan koleksi penjilidan buku-buku tersendiri dan juga memulihkan buku-buku lama yang sudah rosak seperti buku masakan, komik dan buku-buku keagamaan.

Merungkai proses yang dilakukan, sebelum mula melakukan penjilidan, Samsiah akan melipat helaian kertas pada bahagian dalam buku yang dipanggil ‘signatures’.

Dia seterusnya akan memilih warna benang dan jenis jahitan yang mahu digunakan pada buku-bukunya, sebelum menebuk lubang pada setiap helai ‘signatures’ yang sudah siap dilipat, lalu menjahit kesemuanya bersama.

Jahitan dilakukan Samsiah dengan menggunakan jarum khas. Terdapat beberapa bentuk jahitan yang dihasilkan antaranya ialah french link stitch.

Apa yang menjadikan setiap penjilidan yang dihasilkan Samsiah unik adalah kerana ia terhasil dengan idea dan kreativitinya sendiri.

Bagi sesetengah rekaan, Samsiah bahkan turut hasilkan sendiri fabrik untuk digunakan sebagai kulit buku.

Dalam satu perkongsian video di Instagramnya iaitu @littlesyam, Samsiah dilihat membuat fabrik sendiri dengan menekap daun yang sudah diwarnakan pada sehelai kain putih polos sebelum mengeringkan dan memotong fabrik tersebut untuk dijadikan kulit buku.

Samsiah menghasilkan pelbagai motif menarik pada buku-bukunya seperti abstrak serta flora dan fauna.

Ujar Samsiah, setiap buku yang dihasilkannya akan menonjolkan rekaan yang berbeza-beza.

“Sepanjang berkecimpung dalam bidang ini, setiap buku yang saya hasilkan mempunyai fungsi dan menonjolkan rekaan dan jahitan yang berbeza-beza.

“Pengalaman sebagai seorang pereka grafik sebelum ini sedikit sebanyak memudahkan saya membuat keputusan dalam membuat pemilihan berkenaan rekaan buku yang mahu dihasilkan dengan mengambil kira gabungan material seperti pemilihan kertas bersesuaian, jenis jahitan, warna dan reka bentuk keseluruhan bagi bahagian dalam dan luar buku,” katanya.

Samsiah turut mengadakan bengkel penjilidan buku untuk orang ramai.

Tambah Samsiah, jangka masa yang diambil baginya dalam menyiapkan setiap penjilidan adalah berbeza-beza, bergantung kepada beberapa faktor.

“Biasanya, saya mengambil masa sekitar 45 minit untuk menyiapkan sebuah buku. Ada juga yang mengambil masa sehingga seminggu, bergantung kepada ketebalan, saiz dan jenis jahitan yang digunakan.

“Bagi proses pemulihan buku pula, ia mengambil masa lebih lama sama ada beberapa minggu sehingga sebulan,” ujarnya.

Bagi penghasilan buku bersifat tempahan khusus daripada pelanggan pula, Samsiah berkata, ia akan memakan masa yang lebih panjang, memandangkan perlu mencapai persetujuan bersama pelanggan.

Samsiah juga berkata, dia tidak pernah menghitung berapa jumlah buku yang sudah dihasilkan dan dibaik pulih, namun percaya bahawa ia sudah mencecah ribuan naskhah, memandangkan dia sudah terlibat dalam industri ini sejak 2008.

Ditanya rekaan paling disukainya, Samsiah menjelaskan tiada satu rekaan spesifik yang disukainya memandangkan kesemuanya dihasilkan mengikut kreativiti tersendiri dalam jumlah yang terhad.

Biarpun mempunyai kepakaran dalam bidang penjilidan buku, Samsiah akui kerjaya pilihannya itu tetap datang dengan cabaran tersendiri.

Baginya, proses menghasilkan setiap rekaan memerlukan kesabaran yang cukup tinggi.

“Perlu sabar kerana bagi saya tiada jalan pintas dalam penghasilan buku buatan tangan seperti ini.

“Dalam proses pemuliharaan buku-buku lama pula, masa yang diperlukan sangat panjang dan memerlukan pemikiran yang kritikal bagi membuat keputusan terbaik dalam setiap tugasan.

“Kadangkala, saya rasa amat sukar menjustifikasikan nilai atau harga sesebuah buku yang dihasilkan itu kerana masa serta proses yang diperlukan untuk menghasilkannya itu cukup intensif,” kongsinya.

Namun, Samsiah akui seronok dan amat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan kepadanya, khususnya bagi proses pemulihan buku-buku lama.

Samsiah turut menganjurkan bengkel penjilidan buku kepada mereka yang berminat mempelajarinya.

Ujar Samsiah, satu sesi mengambil masa selama empat jam, yang mana para pelajar berpeluang mempelajari pelbagai teknik jahitan menarik untuk penjilidan buku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN