Saudara Pengarang,
Perdebatan sistem pendidikan negara kita umpama pergolakan rumah tangga artis: nikah-cerai-nikah-cerai. Yang menjadi mangsa ialah anak-anak. Dalam kes sistem pendidikan, kesannya adalah kepada murid-murid.
Pergolakan bermula dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Setelah mendapat tentangan daripada pelbagai pihak, ia dimansuhkan dan Pembelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Melayu pula.
Untuk menjaga hati semua, diperkenalkan pula Program Dwi Bahasa (Dual Language Program – DLP).
Selepas itu, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dimansuhkan dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah (PBD).
Sekarang ini, ada pihak yang mencadangkan agar UPSR dan PT3 diwujudkan semula. Memang memeningkan kepala.
Dahulu kita suap ilmu perlahan-lahan ke dalam mulut murid-murid tetapi kebelakangan ini kita dengan rakusnya sumbat macam-macam ke dalam kerongkong sampai mereka tercekik.
Jangan buat sesuatu dasar dan polisi pendidikan secara trial and error. Kalau tidak berjaya, kita cuba yang lain pula. Berapa kali kena cuba untuk dapatkan yang betul? Jangan jadikan murid sekolah sebagai bahan uji kaji.
Buatlah dasar dan polisi pendidikan agar murid berasa gembira pergi ke sekolah untuk belajar tanpa tekanan, mendapat ilmu yang bermanfaat dan dapat bergaul dengan kawan-kawan sebagai satu proses kehidupan.
MARISSA QT
Kuala Lumpur














