KUALA TERENGGANU – Peniaga cenderamata di Pasar Kedai Payang 1 di sini, gembira apabila rantai kunci patung penyu yang dijual RM10 satu laris bagaikan pisang goreng panas oleh peserta Himpunan RXZ Members 6.0 minggu lalu.
Nik Ramsuzilawati Nik Ramli, 39, berkata, dia menjual 500 utas rantai kunci sehari sejak musim cuti sekolah pada Jumaat lalu.
Katanya, walaupun ia telah lama dijual, namun ia mula popular sejak tular di media sosial baru-baru ini.
“Kebanyakan yang beli ialah peserta himpunan RXZ untuk dibuat buah tangan buat isteri, anak dan kawan perempuan kerana ia comel bila dipasang pada zip beg.
“Stok rantai kunci itu kini sudah habis di semua lot kedai,” katanya ketika ditemui di Pasar Payang 1 di sini semalam.
Seorang lagi peniaga, Mohamad Syakir Mohd. Yusof, 29, pula berkata, dia bercadang mahu meningkatkan bekalan pada musim cuti dan himpunan RXZ tahun depan.
“Selain itu, anak patung penyu juga banyak orang beli. Saya jual 1,500 anak patung itu dan perlu ditempah lagi dari China,” katanya.














