fbpx
PENJAGA taska perlu ada ilmu asas dalam penjagaan bayi atau kanak-kanak supaya mereka memiliki kebolehan dan kecekapan bagi memastikan keselamatan anak jagaan. - GAMBAR HIASAN

Yang diasuh anak orang, bukan anak binatang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAMPAI bila kes bayi maut di pusat jagaan kanak-kanak (taska) akan berakhir? Kejadian ini nampaknya terus berlaku dan pastinya akan berlaku lagi jika kita masih berlembut dengan pemilik taska serta pengasuh.

Jumaat lalu, kita dikejutkan dengan kematian seorang bayi lelaki berusia 8 bulan, Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri di sebuah taska di Alor Gajah, Melaka.

Bapa bayi itu mendakwa, penjaga anaknya di taska terbabit dilihat membedung, menyumbat botol susu, menutup dengan kain dan kemudian menekup muka anaknya dengan bantal.

Bayi tersebut kemudian terkulai, mulut berdarah dan muka kebiru-biruan sebelum dibawa ke hospital oleh ibunya, namun disahkan sudah lagi tidak bernyawa.

Aksi seperti mahu membunuh tersebut dilihat bapanya sendiri melalui sistem televisyen tertutup (CCTV) di premis terbabit.

Sungguh tragis, anak sulung yang dinanti-nantikan kelahiran selama 13 tahun, akhirnya meninggal dunia dalam sekelip mata sahaja.

Pengasuh taska jika tidak berminat menjaga bayi atau kanak-kanak, jangan bekerja di taska. Usahlah bekerja semata-mata mahu gaji kerana tiada kerja lain.

Bukan mudah menjaga anak-anak kecil kerana ia memerlukan kesabaran tinggi untuk melayan ragam mereka. Bayi masih tiada akal, tetapi kita yang berakal perlu berfikiran waras dalam setiap tindakan.

Penjaga taska perlu ada ilmu asas dalam penjagaan bayi atau kanak-kanak supaya mereka memiliki kebolehan dan kecekapan bagi memastikan keselamatan anak jagaan mereka.

Jika ada ilmu asas, kes kematian akibat tersedak susu misalnya tidak akan boleh dielakkan.

Tetapi tidak, kes seperti ini terus berlaku. Sama ada mereka tidak tahu bahaya membiarkan botol susu tersumbat pada mulut bayi dalam tempoh lama tanpa pemerhatian atau buat-buat bodoh ataupun sengaja mahu membunuh.

Pemilik premis pula wajib meneliti terlebih dahulu bakal pengasuh sebelum diambil bekerja.

Jika tiada ilmu atau tidak menunjukkan minat mendalam terhadap kanak-kanak, tolak calon seperti ini. Tambahan pula jika mereka mempunyai pelbagai masalah termasuk peribadi.

Jangan tangkap muat sahaja ambil pekerja asalkan boleh dibayar gaji rendah dan kerja lebih masa. Keselamatan penghuni taska amat penting. Yang dijaga itu anak orang, bukan anak binatang.

Pihak berkuasa perlu tegas, jangan beri muka kepada pengusaha taska haram atau yang gagal mematuhi syarat terutama pemasangan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang kini diwajibkan. Sentiasa lakukan operasi.

Pengasuh yang tiada kelayakan mesti dihantar mengikuti kursus setiap tahun supaya mereka kekal kompetensi dalam menjaga bayi dan kanak-kanak. Jika gagal, haramkan mereka bekerja di taska mahupun menjadi pengasuh di rumah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN