TANPA disangka, Cameron Highlands yang terletak di Pahang masih mempunyai sisi ‘tersembunyi’ yang tidak diketahui ramai.
Menyingkap kembali pengalaman penulis menyertai acara Cameron Ultra 2024 (Cultra) baru-baru ini, ternyata tanah tinggi itu bukan sekadar pusat peranginan yang menawarkan cuaca sejuk.
Dengan memilih larian jarak ultra sejauh 60 kilometer (km), penulis berpeluang menerokai beberapa gunung, bukit serta air terjun dan laluan ladang teh yang hanya dibuka khas kepada peserta.
Antara gunung yang dilalui dalam laluan tersebut adalah Gunung Berembun berketinggian 1,840 meter dari paras laut dan Gunung Jasar (1,696 meter).
Selain dua gunung itu, penulis juga melalui sebuah tapak perkhemahan iaitu Kem Sungai Pauh yang dilengkapi fasiliti seperti tandas dan surau.
Selain terdapat sebatang sungai kecil, kawasan itu turut dipenuhi rimbunan pokok pine yang mewujudkan suasana seperti di tepi pantai.
Bagi mereka yang mencari ketenangan, Kem Sungai Pauh adalah lokasi yang tepat kerana pengunjung juga boleh melawat air terjun Parit Falls di Taman Eko Rimba Parit Falls.
Sebaik turun dari Gunung Berembun, penulis kemudian dikejutkan pula dengan deruan air terjun, Robinson Falls di Tanah Rata ketika menuju ke Habu Ringlet.
Biarpun mengejar masa, namun penulis nekad berhenti seketika bersama beberapa peserta lain untuk menikmati pemandangan air terjun berkenaan.
Selain menikmati keindahan alam semula jadi, antara yang dinantikan penulis adalah memasuki kawasan ladang teh yang dimiliki oleh syarikat Boh.
Meskipun matahari sudah mula terpacak di atas kepala, namun kehijauan ladang teh yang terbentang luas membuatkan penulis kembali bersemangat meneruskan larian.

Sejujurnya, laluan di ladang teh sejauh 20km itu tidak mudah. Walaupun terpaksa menempuh cuaca panas dan berbukit, namun ia memberikan satu kepuasan apabila berpeluang menyaksikan keindahan yang hanya dapat dilihat oleh peserta Cultra.
Dalam pada itu, penulis sempat bertemu dengan pelari jemputan iaitu Sange Sherpa berasal dari Makalu, Nepal yang menyertai kategori 100km.
Menurut Sange, Cultra 2024 merupakan acara pertama dia di Malaysia.
Ujarnya, larian itu menampilkan cabaran tersendiri daripada perlumbaan denai yang pernah disertainya di sekitar Eropah.
“Secara keseluruhan, saya suka acara ini, semua aspek terbaik. Daripada segi ‘route’ (laluan), penanda arah sangat jelas dan ada bahagian teknikal terutama di Gunung Brinchang Barat.
“Cameron merupakan kawasan yang unik kerana mempunyai semua elemen,” katanya.
Sange yang mendominasi dunia larian denai sejak 2010 muncul juara keseluruhan Cultra 100 km apabila memecahkan rekod baharu dengan catatan masa 14 jam 21 minit.
Difahamkan, lebih 2,000 peserta dari 36 negara menyertai Cultra 2024 yang dianjurkan oleh BOLT Events Management.














