fbpx
ROSHIDAN membersihkan lumpur dan sampah sarap di kawasan tepi rumahnya selepas kejadian banjir kilat di Kampung Perigi di Yan kelmarin.

‘Tiap tahun hadap banjir, sudah lima kali kena’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

YAN – “Kami penat kerana terpaksa menghadap banjir kilat setiap tahun, kini hanya mampu reda dan tidak lagi beli perabot kerana bimbang rosak.”

Demikian luahan penduduk Kampung Seri Perigi, di sini, yang ditemui ketika sibuk membersihkan rumah selepas dilanda banjir kilat ekoran arus deras tengah hari kelmarin.

Menurut Sarimah Ahmad, 47, sejak kejadian kepala air pada 2021, penduduk terutama yang tinggal di kaki Gunung Jerai di sini, terpaksa berhadapan dengan le­bih lima kali kejadian banjir kilat.

“Selepas kejadian kepala air atau aliran puing itu, kami beli barangan yang rosak menggunakan wang sumbangan orang ramai dan pihak kerajaan, namun disebabkan kekerapan rumah dimasuki air semua barang itu kembali rosak.

“Sehingga sekarang sebahagian besar penduduk di kawasan sepanjang Sungai Perigi ini tidak lagi mempunyai kelengkapan rumah seperti orang lain berikutan kawasan ini sering dinaiki air,” katanya di sini semalam.

Tambahnya, penduduk juga letih membersihkan rumah setiap kali banjir dan kejadian kelmarin adalah kali kedua bulan ini.

Penduduk lain, Roshidan Saad, 50, berkata, dia sememang­nya letih berikutan terpaksa berhadapan kejadian banjir kilat yang dikesan semakin kerap berlaku ketika ini.

“Jika hujan lebat lebih sejam sahaja kami terpaksa berada dalam keadaan berjaga-jaga, memindahkan barangan ke tempat tinggi kerana Sungai Perigi di hadapan rumah akan dinaiki air sebelum melimpah ke dalam kediaman.

“Penduduk sudah penat ke­rana sehingga sekarang tiada jalan penyelesaian dibuat pihak berkuasa sebaliknya kami penduduk hidup tertekan kerana terpaksa berhadapan dengan situasi sama berulang kali,” ujarnya.

Penduduk, Hamizul Ismail, 70, berkata, perasaan trauma ketika berhadapan kejadian kepala air tiga tahun lalu masih tidak menghantui mereka terutama ketika hujan lebat kerana ia biasanya disusuli arus deras.

“Saya tinggal bersama anak orang kelainan upaya (OKU) dan seorang cucu dan hanya bergantung kepada bantuan jiran terdekat jika berlaku kejadian banjir kilat untuk memindahkan barang ke tempat selamat.

“Dalam usia sebegini tambahan lagi tidak mempunyai tempat tinggal yang lain saya hanya mampu berdoa agar tiada kejadian yang lebih teruk menimpa kami dalam kes banjir kilat,” ujarnya.

Kosmo! pada 20 Ogos 2021 melaporkan lebih 5,000 penduduk terjejas dengan hampir 200 daripadanya ditempatkan di pusat penempatan sementara akibat kepala air di Gunung Jerai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN