PETALING JAYA – Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, kedua-dua negara terus memainkan peranan penting dalam usaha bersama memerangi jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia, jenayah siber dan penyeludupan dadah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia dan China juga telah menandatangani perjanjian penting untuk memperkukuh kerjasama dalam menangani jenayah global.
“Saya turut mengetengahkan isu perjudian haram dalam talian yang semakin membelenggu ekonomi global.
“Kerjasama erat antara Malaysia dan China dalam menangani isu ini pastinya akan membuahkan hasil yang signifikan terutamanya di dalam membanteras sindiket jenayah perjudian dan penggubahan wang haram, meningkatkan keselamatan sosial dan mengurangkan ketagihan perjudian,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, kerajaan Malaysia juga menekankan pentingnya penggunaan teknologi moden seperti pengecaman wajah dan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuh keselamatan awam.
“Di Malaysia, kita telah memperkenalkan sistem NG999 yang menggunakan peta digital dan AI untuk mempercepatkan tindak balas kecemasan melalui penyelarasan bersepadu antara Agensi Kerajaan dan komuniti.
“Harapan saya, agar kita semua terus bekerjasama dalam menghadapi cabaran keselamatan global dan memperkukuh perpaduan antarabangsa demi keamanan dan kesejahteraan dunia,” katanya.
Terdahulu ,Ahmad Zahid membawa suara Malaysia di pentas Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global 2024 yang berlangsung di Haizhou Bayview Conference Centre, wilayah Lianyungang, China hari ini.
Dalam ucapan, beliau turutu memuji kepimpinan Presiden Xi Jinping melalui Inisiatif Keselamatan Global (GSI), yang telah membuka jalan kepada kerjasama keselamatan antarabangsa yang lebih kukuh. – KOSMO! ONLINE.