CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin setiap projek dalam Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 menerapkan prinsip tatakelola yang lebih tegas dan tidak bertolak ansur dari sebarang kecurangan yang memusnahkan negara.
Anwar berkata, syarikat yang diswastakan ini bukan hanya perlu mengejar keuntungan semata-mata, namun mereka harus memikirkan tiga aspek penting dalam membantu ‘keluarga’ iaitu pekerja mereka.
Katanya, tiga aspek berkenaan adalah menitikberatkan soal kadar upah pekerja yang setimpal, kemudahan perumahan dan Pendidikan untuk anak-anak mereka mengikut keupayaan syarikat masing-masing.
“Pengajaran yang saya nak sampaikan ini bagaimana harus kita teruskan dalam pelan kerjasama awam-swasta perlu mengambil kira konsep ini.
“Jadi peranan Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) ini adalah untuk memastikan kepesatan kelulusan yang tidak terikat kerenah birokrasi berlebihan, tetapi tidak berganjak dengan prinsip utama tentang tatakelola dan mengelak dari sebarang kecurangan yang telah menjahanamkan sebahagian perubahan negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE