JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi mahu pelaku yang menyebabkan pencemaran bau kimia dicekup dan diheret ke mahkamah.
Onn Hafiz berkata, perbuatan itu disifatkan sebagai tindakan bertanggungjawab dan mahu pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor mengesan pelaku sehingga dapat.
“Cari sampai ke lubang cacing, siapa yang bertanggungjawab. Pencemaran bau ini sudah berlaku sejak minggu lepas, saya mahu dia dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya selepas mengadakan lawatan ke lokasi pencemaran bau di sekitar kawasan Johor Bahru.
Dalam pada itu, Onn Hafiz memberitahu, JAS Negeri Johor dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor melalui Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sisa bahan kimia yang terkandung dalam sampel air yang tercemar untuk membendung isu pencemaran yang berlaku dari terus merebak.
“Hasil siasatan mendapati bahan kimia yang dijumpai di kawasan sungai tersebut berpotensi membahayakan kesihatan awam, selain komponen beracun yang mencemari udara dan berbau kuat serta tidak menyenangkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE