fbpx
IKIN mengakui layanan yang diberikan keluarga kepadanya semasa membesar telah membekaskan rasa dendam di dalam dirinya kepada mereka biarpun dia kini sudah berjaya dalam kehidupan. – Gambar hiasan

Dihina keluarga sendiri kerana status ‘anak haram’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DILAHIRKAN dengan status anak luar nikah ternyata memberikan kehidupan yang kurang menyenangkan buat seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Ikin.

Disebabkan status tersebut dia berhadapan dengan penghinaan dalam hidupnya.

“Saya tidak diminta untuk dilahirkan dengan status anak luar nikah atau bahasa kasarnya ‘anak haram’.

“Disebabkan kesilapan ibu saya pada zaman mudanya saya dilahirkan di dunia ini dan harus menerima akan takdir tersebut,” katanya yang kini berusia hujung 20-an.

Ikin mengakui, sepanjang membesar dengan status tersebut, dia tidak pernah rasa bahagia. Malah, dia turut dibenci oleh ahli keluarganya sendiri termasuk ibu dan neneknya.

Neneknya bahkan menuduh bahawa Ikin membawa nasib malang terhadap keluarganya.

“Nenek turut mengatakan bahawa datuk saya meninggal disebabkan oleh saya.

“Datuk saya meninggal ketika saya masih bayi lagi dan dia meninggal kerana tekanan akibat ibu saya mengandung anak luar nikah pada ketika itu.

“Waktu itu keluarga nenek saya dipandang serong oleh orang kampung disebabkan saya dan datuk saya ketika itu dikatakan tidak pandai menjaga anak sehingga melahirkan anak luar nikah,” jelasnya.

Beberapa tahun selepas Ikin dilahirkan, ibunya telah berkahwin dengan lelaki pilihan hatinya. Ibu dan bapa tirinya juga terus menetap di rumah neneknya.

Ikin berkata, ketika kecil dia masih mengingati bapa tirinya ada memanggilnya dengan gelaran anak haram pada dirinya.

“Pada ketika itu saya tidak mengerti akan apa itu makna anak haram dan saya bertanya kepada ibu akan hal tersebut.

“Ibu diam dan tidak berkata apa-apa kepada saya. Walaupun saya dilahirkan ibu atas kesilapannya tetapi ibu juga tidak menyukai saya berbanding adik-beradik lain,” ujarnya.

Setelah masuk ke alam persekolahan baru Ikin mengerti akan apa itu makna anak haram.

Ketika di sekolah, dia turut diejek oleh rakan-rakannya yang lain dengan gelaran itu. Rakan-rakan tersebut berasal dari kampung yang sama dengan Ikin dan tahu kisah Ikin.

“Seingat saya ketika sekolah rendah saya sering menerima ejekan sebegitu dan ketika di sekolah juga ramai yang tidak mahu berkawan dengan saya.

“Lama-kelamaan apabila semakin membesar saya dapat mengetahui akan apa makna anak luar nikah. Setelah mengetahui makna tersebut dan memahaminya saya hanya mampu menangis,” katanya.

Ketika di rumah, Ikin tidak dilayan dengan penuh kasih sayang. Dia melihat nenek, ibu dan bapa tirinya amat menyayangi adik-adiknya.

Malah, ada ketika dia bergaduh dengan adik beradiknya yang lain mereka memanggilnya dengan gelaran anak haram.

Ada ketikanya, dia ditinggalkan bersendirian di rumah ketika mereka yang lain keluar untuk makan angin. Begitu juga saudara-mara yang lain, mereka menunjukkan rasa tidak suka kepada dirinya.

Ikin berasa kerana status tersebut dia mendapat layanan sedemikian.

Sejak kecil, Ikin dihina, diejek dan dibenci keluarganya kerana statusnya yang dilahirkan luar nikah. – Gambar hiasan

Setelah memasuki alam sekolah menengah, Ikin dihantar untuk belajar di sekolah berasrama.

“Saya masih ingat ketika di sekolah asrama ibu dan ayah tiri saya jarang datang untuk menjenguk saya.

“Apabila semakin meningkat dewasa saya menaruh perasaan ‘dendam’ kepada keluarga saya kerana memperlakukan saya sedemikian rupa,” terangnya.

Namun begitu, Ikin merasa beruntung kerana salah seorang bapa saudaranya mengambil berat akan hal dirinya. Ada ketikanya bapa saudaranya itu akan datang melawatnya dan memberi sedikit wang saku.

“Abang kepada ibu saya iaitu Pak Ngah dia amat baik dengan saya dan dia langsung tidak memberi layanan yang buruk meskipun saya memegang status anak luar nikah.

“Saya masih ingat selepas tamat alam persekolahan, saya ada menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian, tetapi keluarga kata untuk berbuat demikian saya perlu cari wang sendiri dan mereka tidak akan bantu.

“Tetapi Pak Ngah ini banyak membantu saya agar saya dapat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Sehingga kini saya berterima kasih dengan Pak Ngah,” ungkapnya.

Perasaan marah kepada nenek, ibu, bapa tirinya dan adik beradiknya yang lain membekas sehingga kini meskipun dia boleh dikatakan telah berjaya dalam kehidupan.

Ikin kini telah mempunyai kerjaya yang boleh dikatakan bagus dan dia bekerja di Lembah Klang. Dia juga kini mempunyai kehidupannya sendiri.

Kerana rasa ‘dendam’, dia jarang pulang ke kampung halaman untuk bertemu dengan ahli keluarganya yang lain.

“Kini apabila saya telah ada kerjaya, ahli keluarga saya mula cuba untuk melayani saya dengan baik dan cuba bertanya khabar saya.

“Tetapi apa yang mereka lakukan ketika saya membesar memberi parut yang membekas di hati sehingga kini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN