fbpx
Setelah melafaz talak kerana berang Aida enggan membuat pinjaman bank pembelian motosikal kuasa besar untuk dirinya, suaminya kembali kepadanya dan merayu rujuk semula. – Gambar hiasan

Suami licik perguna isteri kerja ‘gomen’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMILIH untuk berpisah dengan suami tercinta merupakan jalan terbaik dipilih oleh seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Aida.

Aida mengakui sepanjang hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga, dia berasa dirinya dipergunakan lelaki itu.

Menurutnya, suaminya mengambil kesempatan ke atas dirinya yang merupakan seorang penjawat awam.

“Saya dapat rasakan sebab utama suami saya memilih kahwin dengan saya adalah kerana saya bekerja sektor awam. Maklumlah, bekerja ‘gomen’ sering dianggap mempunyai jaminan kewangan yang stabil dan mudah sedikit dalam hal-hal membuat pinjaman,” katanya yang kini berusia awal 30-an.

Imbas Aida, dia dan suami berkenalan setelah diperkenalkan oleh rakan masing-masing dan mengambil keputusan untuk berkahwin dalam tempoh masa yang agak singkat.

Sewaktu perkenalan mereka, Aida bagaimanapun dapat melihat bagai ada keikhlasan yang ditunjukkan lelaki itu terhadap dirinya. Atas sebab itu dia mengambil keputusan untuk membawa hubungan mereka kepada jalinan yang sah.

Sewaktu berkenalan, suaminya itu menyatakan dia bekerja sendiri sebagai jurugambar bebas.

Jelas Aida, setelah berkahwin dia membawa suaminya itu untuk tinggal bersama di rumah yang baru dibelinya.

“Selepas berkahwin suami saya menyatakan bahawa dia akan membantu saya untuk membayar pinjaman bulanan rumah yang dibeli.

“Namun, dia hanya membantu membayar untuk tempoh lima bulan pertama sahaja, selepas itu dia mula culas untuk membayar dengan memberi alasan tiada wang,” ujar Aida.

Bukan itu sahaja, lama-kelamaan suaminya itu mula melupakan akan tanggungjawabnya dan tidak menunaikan nafkah zahir yang sepatutnya. Malah, kebanyakan perbelanjaan mereka ditanggung oleh Aida.

Pada mulanya, Aida tidak kisah, namun lama-kelamaan dia merungut juga apabila dirinya seakan ketua keluarga.

Pun begitu, Aida mengakui dia amat menyayangi suaminya itu sepenuh hati.

Ini kerana suaminya itu adalah lelaki pertama yang berjaya mengetuk pintu hatinya.

“Saya sebelum ini tidak pernah menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki.

“Suami saya adalah lelaki pertama yang saya jalinkan hubungan serius sehingga kami berdua berkahwin.

“Boleh dikatakan dia cinta pertama saya dan atas sebab itu saya mencintainya sepenuh hati dan terus bertahan meskipun dia tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami sepenuhnya selepas
kami berkahwin,” kata Aida.

Kerana sayang terhadap suaminya itu, setelah mereka berkahwin dia juga sanggup melakukan pinjaman bank atas pujukan suaminya.

Aida melakukan pinjaman bank setelah dipujuk oleh suaminya untuk membeli kelengkapan kamera yang lebih baik buat dirinya.

“Suami saya menyatakan dia memerlukan kelengkapan kamera baharu untuk dia menjalankan tugasnya sebagai jurugambar bebas dan meminta saya untuk melakukan pinjaman bank.

Dia berjanji untuk membayar pinjaman itu setiap bulan.

“Oleh kerana sayang kepadanya, saya melakukan pinjaman peribadi sebanyak RM25,000 bagi membolehkan dia membeli kelengkapan kamera sebagaimana yang dimahukannya,” terang Aida.

Namun begitu, tidak seperti yang dijanjikan, suaminya culas untuk membayar pinjaman tersebut.

Akhirnya, Aida juga yang terpaksa melunaskan bayaran bulanan pinjaman tersebut.

Lebih menyakitkan hati, setelah mendapat kelengkapan kamera itu, suaminya pula dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk mencari ‘job’ yang boleh menjana pendapatannya.

Suaminya itu semakin selesa kerana merasakan seperti dirinya disara oleh Aida.

Bukan itu sahaja, kongsi Aida, suaminya itu kemudian memintanya untuk membuat pinjaman bagi membolehkannya membeli motosikal berkuasa besar.

Namun, kali ini Aida lebih berhati-hati dan dia tidak menunaikan permintaan suaminya itu.

“Kami bergaduh besar kerana hal ini, dia berjanji untuk membayar bulanan motosikal jika saya membantunya mendapatkan pinjaman, tetapi saya pasti itu hanya ‘janji palsu’, akhirnya saya juga yang terpaksa membayarnya,” ujar Aida.

Hal itu membuatkan mereka bergaduh kerana keengganan Aida mematuhi kehendak suami.

Sewaktu mereka bertengkar, secara tiba-tiba suaminya telah menjatuhkan talak kepada Aida dalam keadaan marah.

Aida amat terkejut dan tidak menjangka suaminya itu sanggup menjatuhkan talak kepadanya. Suaminya kemudian mengambil keputusan keluar dari rumah mereka.

Namun, tidak lama kemudian dia kembali dan mahu merujuk saya.

“Setelah berfikir panjang, saya fikir lebih baik kami berpisah kerana saya tidak rasa suami saya akan berubah.

“Akhirnya kami memilih untuk berpisah dan kami sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di sebuah negeri di utara Semenanjung,” kata Aida.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN