JIKA sebelum ini Malaysia mengharapkan sentuhan emas daripada Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi untuk menjelmakan kilauan pingat dalam acara trek di pentas Sukan Paralimpik, tetapi kini lahir seorang atlet baharu untuk menggalas tanggungjawab berat tersebut.
Pelari pecut yang mesra disapa dengan nama Dek Wan itu pernah mengegar dunia apabila muncul atlet pertama negara meraih pingat emas Sukan Paralimpik sejak Malaysia mula mengambil bahagian dalam edisi pertama di Heidelberg, Jerman pada 1972.
Dek Wan memastikan emas ketika menjuarai acara 100 meter (m) kategori T36 (cerebral palsy) pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil dengan rekod baharu Sukan Paralimpik menerusi masa 12.07 saat (s).
Sejak itu, Dek Wan sentiasa menghadiahkan pingat demi pingat buat Malaysia dalam setiap penyertaannya di peringkat antarabangsa sama ada Sukan Para ASEAN dan Para Asia termasuklah Kejohanan Olahraga Para Dunia.
Bagaimanapun, Dek Wan tidak dapat meneruskan kecemerlangan itu pada Paralimpik Tokyo 2020 apabila menamatkan aksi final di tangga keempat dan mungkin disebabkan faktor umur, dia gagal melayakkan diri ke edisi Paralimpik Paris kali ini.
Ketika semua tidak memberikan tumpuan kepada acara trek, Eddy Bernard tampil menceriakan kontinjen negara dengan menyumbang pingat pertama Malaysia di bumi Paris menerusi kejayaannya meraih gangsa 100m T44 (kecacatan fizikal).
Atlet dari Beluran, Sabah itu memberi gambaran positif mengenai potensinya untuk menyinar lebih jauh di pentas antarabangsa, sama seperti dilakukan Dek Wan sebelum namanya dikenali sewaktu meraih emas Paralimpik Rio 2016.
Jika melihat kepada faktor umur, Eddy baru berusia 23 tahun dan mempunyai masa depan yang begitu cerah sekali gus tidak mustahil untuk menyumbang pingat emas dalam edisi seterusnya di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2028 (LA2028).
Berdasarkan pencapaian itu, Eddy meraih gangsa dengan masa 11.58s yang mana ia merupakan rekod Asia baharu, memadam catatan lama 11.75s dicipta oleh pelari Sri Lanka, Indika Gamage sewaktu Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun pada Mei lalu.
Menariknya, Eddy sebelum ini lebih cenderung kepada acara lompat jauh dengan pencapaian tertingginya bergelar juara Asia selepas menjuarai kategori T44/62/64 sewaktu mengambil bahagian pada Sukan Para Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Bakatnya dalam acara 100m mula diberi perhatian selepas berjaya meraih tempat kedua Sukan Para Asia Hangzhou 2022 sebelum diasah dan digilap dengan lebih spesifik di bawah bimbingan jurulatih olahraga para negara, Hamberi Mahat.
Biarpun baru sebulan mendapat tunjuk ajar daripada Hamberi, Eddy telah menunjukkan perkembangan yang cukup hebat dengan meraih pingat perak acara berkenaan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Mei lalu sehinggalah kini bergelar pemenang podium Paralimpik Paris.
Kini, skuad olahraga para tidak lagi perlu bimbang mengenai potensi pingat untuk acara pecut kerana akhirnya sudah menemui pengganti terbaik Dek Wan.















