fbpx
Orang ramai terpesona melihat seni batik dengan penceritaan sejarah yang dipersembahkan dalam skala besar di RXP. KL.

Pawagam lama jadi lokasi tayangan mega seni batik digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELUANG melihat pertunjukan seni visual yang dihasilkan menggunakan karya batik digital dan turut diselitkan elemen sejarah pembangunan negara baru-baru ini membuatkan seorang penonton berasa cukup terharu sehingga menitiskan air mata.

Rabiatul Adawiyah Zakaria berkongsi, pertunjukan bertajuk ‘Hanya Batik’ berlangsung di ruang seni digital REXPERIENCE (RXP.KL) di aras satu mercu nostalgik, REXKL yang menceritakan sejarah tanah air sehingga mencapai kemerdekaan telah menyebabkan air matanya berlinangan.

“Air mata saya gugur jua apabila melihat bagaimana negara kita membangun menerusi paparan seni visual menggunakan batik digital.

“Saya pasti akan kembali lagi ke sini bersama anak-anak saya, kerana pertunjukan sebegini adalah cara terbaik untuk memupuk semangat patriotik dan jiwa merdeka,” kongsinya.

Persembahan seni visual sememangnya menjadi antara medium paling menarik yang digunakan oleh artis seni dalam menyampaikan sesuatu mesej atau penceritaan. Gabungan seni dan teknologi menerusi pancaran visual menarik, diiringi muzik memukau semestinya memberikan sensasi menyeronokkan pada deria penglihatan dan pendengaran penonton.

Apabila suatu elemen tradisional seperti batik dipadukan dengan penceritaan sejarah negara di dalam sebuah bekas pawagam yang wujud sejak sebelum merdeka di ibu kota, ia pasti mencetuskan aura dan atmosfera yang cukup mengesankan.

Pelukis ilustrasi yang juga pencipta karya seni visual ‘Hanya Batik’ iaitu Arif Rafhan Othman berkongsi, pameran seni itu merupakan satu projek yang cukup bermakna buatnya.

“Projek ini merupakan medium yang belum pernah saya cuba sebelum ini dan merupakan projek yang paling saya sukai setakat ini.

“Penghasilannya juga merupakan satu cabaran buat saya kerana saya mahu menghasilkan satu karya yang dapat diselami secara mendalam oleh pengunjung dengan menggunakan teknologi moden,” katanya kepada K2.

ARIF

‘Hanya Batik’ merupakan cara Arif untuk bercerita tentang sejarah dan pembangunan Malaysia menerusi karya batik digital secara santai.

Karya berdurasi sekitar 15 minit itu membawa penonton melihat versi batik yang menggambarkan Kesultanan Melayu Melaka, kehidupan masyarakat kampung zaman dahulu sehinggalah bangunan pencakar langit, barisan tokoh-tokoh negara yang telah berjuang dalam menjadikan Malaysia sebuah negara harmoni seperti hari ini.

Ujar lelaki berusia 47 tahun itu, untuk menjayakan projek sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dan juga Hari Malaysia itu, dia juga banyak mempelajari dan menyingkap semula lipatan sejarah negara bagi memastikan elemen dipaparkan tepat dari segi sejarah.

Mengulas pemilihan batik sebagai cara dia menterjemah cerita dan sejarah negara, Arif memberitahu, batik telah menjadi eksport budaya.

“Batik merupakan medium utama yang cuba saya ketengahkan dalam projek ini kerana ia merupakan eksport budaya yang juga menjadi produk seni kebanggaan negara.

“Bahkan, batik Malaysia juga miliki nilai estetika tersendiri, menjadikan ia unik dan berbeza daripada batik-batik dari negara lain,” ujarnya.

Selain sebagai projek seni visual, beberapa karya seni ‘Hanya Batik’ juga turut dihasilkan dalam bentuk kanvas dan dipamerkan di ruang lobi hotel Four Points by Sheraton, Kuala Lumpur.

Melihat kepada bakat seni yang dimiliki anak kelahiran Ipoh, Perak itu, mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa Arif tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang seni dan semua karya yang dihasilkannya dipelajari sendiri dek kerana minatnya yang mendalam terhadap seni halus.

“Sebelum ini, saya bekerja dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan mula menceburi bidang seni visual pada usia yang dikategorikan agak lewat iaitu penghujung 30-an.

“Namun, saya sudah pun didedahkan dengan karya seni oleh arwah bapa yang merupakan seorang pensyarah bidang seni dan juga artis di Ipoh.

“Justeru, biarpun memiliki ijazah dan bekerja dalam bidang teknologi maklumat selama lebih sedekad, minat yang mendalam terhadap bidang seni akhirnya mendorong saya menceburi bidang seni visual ini secara sepenuh masa sejak 10 tahun lalu,” katanya.

REX telah ditubuhkan sebagai pawagam
di ibu kota sejak sebelum merdeka iaitu 1947.

Arif berkata, dia juga amat berterima kasih kepada REXKL yang sudi berkolaborasi dengan anak seni sepertinya dengan mewujudkan ruang untuk mempersembahkan projek berskala besar dengan mesej patriotisme.

Menyingkap sejarah penubuhannya, bangunan REXKL pada satu ketika dahulu merupakan sebuah panggung wayang yang dikenali sebagai REX Theatre. Ia dibuka secara rasmi 28 Julai 1947, manakala seni binanya pula adalah rekaan arkitek James Robert Vethavanam.

Struktur asal bangunan tersebut telah terbakar pada 1972, menyebabkan ia terpaksa dibina semula. Pada tahun 1976, ia telah diambil alih oleh Golden Screen Cinemas (GSC) yang menjadikannya sebagai sebuah teater skrin tunggal dengan kapasiti 1,100 tempat duduk. Ia kemudian terbakar semula pada tahun 2002 sebelum dijadikan hotel backpackers pada 2007 dan kembali ditutup kerana terbakar sekali lagi.

Pada tahun 2018, sekumpulan usahawan kreatif yang diketuai oleh Shin Tseng dan Shin Chang pula telah menghidupkan semula bangunan seluas 60,000 kaki persegi itu, dengan menjadikannya sebagai pusat seni dan budaya yang kini dikenali REXKL.

Sejak September tahun lalu pula, bangunan tersebut mewujudkan sebuah galeri seni digital dikenali sebagai RXP.KL yang merevolusikan pengalaman menonton karya seni digital kepada orang ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN