fbpx
Penunggang motosikal ‘syok’ dapat mohon lesen B murah

Penunggang lega ‘lesen besar’ sudah murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Rata-rata penunggang motosikal melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan atas inisiatif pengurangan kos yuran daripada RM900 kepada RM160 bagi memiliki lesen Kelas B.

Seorang peminat motosikal berkuasa tinggi, Herizal Amriz Ismat Alang, 30, berkata, ia dapat mengurangkan beban ­kepada peminat motosikal berkuasa tinggi seperti dirinya untuk memiliki lesen kelas B.

“Ramai penunggang yang mempunyai asas, kemahiran dan pengalaman menunggang motosikal berkuasa tinggi, namun tidak mempunyai lesen berikutan kos yang tinggi.

“Selain itu, ia juga akan me­lariskan jualan segmen motosikal berkuasa bersasaran 300cc ­hingga 500cc yang semakin ­banyak di pasaran, motosikal segmen ini menjadi pilihan untuk penunggang yang menempuh perjalanan harian jarak jauh,” ­katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sementara itu, Sulaiman Abu Bakar, 36, berkata, penantian sejak tahun lalu itu akhirnya melegakan semua peminat motosikal berkuasa besar untuk memperoleh lesen memandu kelas B.

“Pengurangan kos serta syarat-syarat yang ditetapkan juga tidak membebankan pemilik lesen untuk ‘upgrade’ lesen yang dimiliki mereka.

“Alhamdulillah tidak seleceh sebelum ini, kalau bayaran RM900 ke RM160 adalah pengurangan yang sangat ketara.

“Jadi lepas ini tiada alasan kepada mereka tidak mempunyai lesen Kelas B menunggang motosikal berkuasa tinggi tanpa lesen,” katanya.

Di Bachok, seorang pemilik motosikal berkuasa tinggi, Noor Syamsuri Nasir, 45, berkata, kemudahan itu akan membolehkan pemilik motosikal besar memiliki lesen yang sah.

“Ramai pemilik motosikal ‘besar’ tidak memiliki lesen di­sebabkan prosedur pengujian amali yang rumit. Program kali ini bukan sahaja murah tetapi lebih beri kemudahan kepada pengguna dengan tidak mengambil tempoh masa lama untuk belajar sebelum melaksana ujian amali.

“Saya sendiri akan mengambil lesen seperti yang ditawarkan secepat mungkin kerana motosikal yang dimiliki hanya mampu ditunggang di luar jalan raya (off­road) dan selebihnya menjadi bahan perhiasan,” katanya.

Pada 3 Ogos lalu, Menteri Pe­ngangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan pemegang LMM Motosikal Kelas B1 atau B2 boleh menaik taraf lesen mereka kepada Kelas B dengan bayaran RM160.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN