RAUB – Seramai 43 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Kudin, di sini menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) menerusi penghasilan Jalur Gemilang terpanjang sepanjang 209.3 meter.
Usaha menyiapkan Jalur Gemilang itu dilakukan oleh MBPK kategori masalah pembelajaran berusia antara 13 hingga 19 tahun dengan dibantu 12 guru dan empat pembantu pengurusan murid.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram berkata, penghasilan Jalur Gemilang terpanjang itu dilakukan bagi mengetengahkan bakat pelajar pendidikan khas.
“Saya difahamkan pelajar dan guru pendidikan khas mengambil masa hampir sebulan untuk melakar, menjahit serta mewarna Jalur Gemilang berkenaan.
“Saya kagum melihat kesungguhan mereka termasuk ibu bapa bagi menjayakan usaha cipta Jalur Gemilang ini sehingga ia direkod sebagai bendera terpanjang yang dihasilkan oleh murid istimewa,” katanya sempena Majlis Perasmian Jalur Gemilang Terpanjang di Malaysia dihasilkan oleh MBPK di SMK Tengku Kudin di sini semalam.
Penyerahan sijil disampaikan oleh wakil rasmi MBOR, Edwin Yeoh kepada Pengetua SMK Tengku Kudin, Mohd. Ramli Yaacob.
Beliau berkata, usaha murni yang dilakukan oleh pihak sekolah itu juga bertujuan untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan kali ke-67 dan menanamkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan pelajar sekolah.














