SEDEKAD berkelana dalam industri seni tanah air dengan mencuba nasib dalam dua cabang berbeza menjadi nilai tambah buat Elizabeth Tan mengumpul lebih banyak pengaruh.
Berpeluang bertemu empat mata dengan pemilik nama penuh Elizabeth Tan Su Mei itu, nyata personalitinya tetap sama, baik dalam media sosial mahupun realiti. Dia mudah mesra dan merendah diri dengan sesiapa sahaja.
Hakikatnya, di sebalik sikap ceria dan sentiasa menguntum senyuman, penyanyi dan pelakon berusia 31 tahun itu memendam gundah di hati.
Penulis sengaja bertanya apa misi ingin dicapai tahun ini yang berbaki lagi beberapa bulan sebagai topik pertama dan bagai dijangka, mulutnya pantas menjawab, cahaya mata!
Bicara soal peribadi bukan suatu hal yang mudah untuk dikongsikan namun jika dibiar terlalu lama, lara yang bersarang di dalam hati semakin parah.
Situasi serupa pernah dilalui wanita yang mesra disapa Lizzy, namun seiring waktu dia kini sudah berlapang dada.

Mahu cahaya mata
Bicara soal zuriat sebenarnya sudah banyak kali dikongsikannya, cuma berbezanya sebelum ini mengakui gelombang jiwanya berbolak balik. Sekarang, semakin sedia untuk bergelar ibu.
Setahun mencuba malah pernah keguguran, Lizzy enggan berputus asa namun dalam masa sama menyerahkan segalanya kepada Tuhan, selain yakin impian menimang cahaya mata dapat direalisasikan.
“Apa yang saya mahukan sekarang tiada lain hanyalah anak.
“Saya sudah berkahwin tiga tahun lebih. Tidak pernah putus asa untuk mencuba. Februari lalu saya sudah hamil tetapi malangnya keguguran.
“Sejak daripada situ, hormon saya tidak teratur, sekarang saya sudah berada pada fasa reda, mungkin bukan rezeki saya lagi tetapi saya akan tetap mencuba.

“Sekurang-kurangnya saya tahu saya boleh hamil, jadi itu pun merupakan satu kelegaan, saya percaya Tuhan akan bagi tepat pada waktunya nanti.
“Semuanya ada proses, ‘kalau anak boleh beli sudah lama saya borong,” katanya kepada Pose.
Disoal bagaimana dia mengawal emosi ketika ditimpa ujian, pelantun lagu Semua Sudah itu enggan berbohong. Dia mengakui tertekan namun lama-kelamaan semakin berdamai dengan takdir.
Paling penting kata wanita berdarah Tionghoa itu, suami, keluarga dan mentua sentiasa memberikan sokongan, sekali gus melegakan sedikit sebanyak rasa yang terbuku di dada.
“Tipulah kalau saya kata tidak tertekan apatah lagi kawan seusia saya kebanyakannya sudah ada anak.
“Saya cuba berlapang ada sebab perkara sebegini bukan dalam kawalan saya, semua kerja Tuhan.
“Syukur sangat suami, keluarga saya dan mentua memahami sebab mereka tahu saya pernah gugur dan boleh mengandung, jadi mereka memberikan sokongan daripada segi jasmani dan rohani.
“Buat masa sekarang, biarlah semua berlalu dalam garis masa yang telah ditakdirnya namun dalam masa sama, saya dan suami terus berusaha dan ikhtiar sebaiknya,” tuturnya tenang.
Enggan berlama-lama dalam topik zuriat, penulis sempat bertanyakan apakah masih ada usikan nakal daripada peminat lelakinya, Lizzy tersenyum lebar mengangguk kepala namun memberitahu, semuanya sudah berkurang sejak dia bergelar isteri orang.

Rindu usikan nakal
Pada awalnya menangis apabila kehilangan ramai pengikut lelaki selepas berkahwin, Lizzy mengakui sehingga kini dia rindu untuk dihujani komen nakal seperti dulu-dulu kerana suka melihat telatah peminatnya.
Pun begitu, pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu akur dengan segala perubahan. Dia mengerti kelompok peminat lelakinya patah hati selepas dirinya menjadi milik suami yang sah.
“Saya akui memang ada sahaja usikan cuma tidak sebanyak dahulu, kalau dahulu lebih meriah dengan komen jejaka-jejaka dalam laman sosial.
“Pada saya itu sangat menghiburkan sebab saya tahu mereka cuma sekadar mahu berinteraksi dan bergurau dengan saya.
“Sekarang sejak berkahwin, saya boleh lihat perubahan ketara, boleh kata audiens saya sekarang seimbang antara lelaki dan perempuan.
“Memang ada impak pada kerjaya selepas berkahwin, saya menangis sebab banyak hilang peminat tetapi reda dan bersangka baik bahawa saya tidak akan di atas selamanya.
“Saya cuba pasang strategi dan cari demografi peminat baharu,” jelasnya.

‘Comeback’ karier nyanyian
Bereksperimentasi atas dua jalur seni sehingga kurang fokus pada akar utama iaitu nyanyian, Lizzy menjelaskan, 2024 merupakan waktu tepat untuk kembali muncul dengan lagu baharu.
Bukan satu sebaliknya anak jati Kuala Lumpur mahu melancarkan dua single baharu demi fokus dan tampil dengan transformasi dalam nyanyian.
“Sedekad saya dalam industri, bermula dengan menyanyi dan kemudian berjinak-jinak berlakon.
“Bila jadi pelakon, ramai pula lupa saya sebenarnya seorang penyanyi.
“Dua tiga tahun lepas saya fokus berlakon tetapi 2024 adalah waktu untuk saya rancakkan kerjaya nyanyian dengan keluarkan dua lagu baharu.
“Lagu pertama nanti berjudul Rezeki adalah sentuhan mengikut apa yang saya mahukan.
“Saya teruja dan berbangga kerana ini adalah ‘comeback’ saya setelah sekian lama. Boleh dikatakan lagu itu nanti 80 peratus tulisan saya sendiri, video muzik pula saya pastikan menjadi yang terbaik sepanjang karier saya,” kongsinya.
Bimbang yang dikejar tak dapat dikendong berciciran, anak bongsu daripada dua bersaudara itu mengakui sanggup berehat sebentar daripada berlakon demi karya baharunya.
“Berehat sekejap sahaja, berhenti itu tidak, banyak lagi watak yang saya ingin cuba seperti karakter psiko dan antagonis cuma kita bagi laluan dekat nyanyian sebab ‘passion’ saya untuk menyanyi dan menari sedang membuak-buak.
“Kalau dalam dunia lakonan, saya ibarat setahun jagung, banyak lagi kena belajar tapi sekarang bagi saya fokus menyanyi dahulu agar Gen Z dapat kenal serta tahu lagu saya,” tutupnya.

Penata Gaya: NANA CHAH @nana.chahh Busana: KOLEKSI NANA CHAH














