APABILA ditanya mengenai perancangan kerjaya dan perancangan masa depan, pemilik nama Nur Hailee Izzati atau lebih dikenali sebagai Hyeley ini tidak berfikir panjang, sebaliknya mengakui telah mempunyai hala tuju untuk kehidupannya.
Menurut gadis berusia 25 tahun yang menghiasi kolum Pesona Ahad minggu ini, dia kini sedang berjinak-jinak dalam bidang penyiaran selain menjadikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sebagai inspirasi.
Pada masa sama, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu juga mahu menjadi lebih berdikari memandangkan sikap itu mencerminkan imej wanita elegan, ada pendirian serta bijak membawa diri.
Kepada Kosmo! Ahad, Hyeley berkongsi serba sedikit mengenai dirinya termasuk kerjaya sebagai seorang model sambilan dan juga penyampai berita untuk menjadi wanita lebih berdikari.
Kosmo! Ahad: Boleh perincikan latar belakang diri anda?
Saya Nur Hailee Izzati dan merupakan anak pertama daripada dua beradik. Saya mempunyai darah kacukan Melayu, Hindustan dan Jawa. Saya merupakan graduan dari Universiti Cyberjaya dan berkelulusan bidang psikologi.
Selain menjadi model sambilan, apakah sisi lain diri anda?
Saya merupakan finalis Top 16 Dewi Remaja 2022 selain mempunyai pengalaman sebagai pembaca berita di beberapa saluran seperti Berita 757 Awesome TV, Berita Wilayah Radio Televisyen Malaysia dan kini portal di Free Malaysia Today.
Kongsikan perkembangan anda dalam bidang penyiaran?
Penyiaran merupakan bidang yang baru saya ceburi dan perlu belajar lebih banyak lagi. Saya menjadikan Tengku Permaisuri Norashikin sebagai inspirasi berikutan Tengku Permaisuri mempunyai aura ‘beauty with brain’.
Adakah anda merasakan seorang wanita itu perlu hidup berdikari?
Wanita perlu hidup berdikari kerana tidak tahu apa kemungkinan yang akan berlaku pada masa akan datang.
Bagaimana pandangan terhadap wanita berdikari?
Seorang wanita berdikari akan terlihat yakin, mempunyai pendirian, pandai membawa diri, boleh membuat keputusan dengan baik dan dapat memberi inspirasi kepada individu lain terutama orang-orang di sekeliling.
Anda dilihat sentiasa cantik dan kenapa sentiasa menjaga penampilan?
Sebagai wanita kita perlu sentiasa kelihatan cantik dan menjaga penampilan diri untuk meningkatkan keyakinan diri selain memberi ‘vibes’ positif kepada orang lain sama ada dari aspek peribadi mahupun kerjaya profesional.
Boleh kongsikan tips dalam menjaga kecantikan dan penampilan?
Hyeley sentiasa memberi fokus kepada kebersihan kerana keselesaan dan rasa bersih mampu membuatkan seorang wanita akan secara semula jadi terlihat menarik.
Dalam tempoh lima tahun lagi, bagaimana anda melihat diri sendiri?
Dalam tempoh lima tahun akan datang, saya mahu terus maju secara peribadi dan profesional serta mengambil lebih banyak cabaran untuk kekal utuh dalam pelbagai aspek.
Ciri lelaki idaman?
Jujur, romantik, baik hati, sabar dan mempunyai misai pada wajah.
Bagaimana seorang lelaki terlihat menarik pada mata anda?
Beliau harus sentiasa menjaga penampilan, bijak dan kalau boleh pandai berjenaka.














