PERJALANAN wanita itu dalam mencari pasangan hidup dipenuhi dengan pelbagai ranjau dan dugaan mencabar.
Kebanyakan lelaki yang ditemuinya memberi kenangan pahit sehingga membuatkan dia trauma dengan kaum Adam.
Hal ini membuatkan Zarina (bukan nama sebenar) pernah memilih untuk membenci lelaki sehingga terjebak dalam hubungan terlarang dengan seorang ‘pengkid’.
Kata wanita berasal dari Damansara, Selangor itu, dia pernah membenci lelaki kerana bekas tunangnya menjalin hubungan dengan wanita lain.
“Saya pernah banyak kali bercinta, tetapi semuanya berakhir dengan memori pahit, disakiti, diduakan, malah pernah menjadi mangsa keganasan dalam perhubungan.
“Pengalaman dikasari oleh bekas tunang yang merupakan seorang lelaki panas baran menjadi punca trauma saya enggan mencari cinta baharu,” katanya.
Tambahnya, dia pernah dibelasah di dalam kereta oleh bekas tunangnya kerana cemburu melihat Zarina bertegur sapa dengan rakan sekolah lama di pasar raya.
Selepas memutuskan hubungan dengan bekas tunang, Zarina mengakui, trauma yang dialami membuatkannya memilih jalan salah untuk terapi diri.
Kongsinya, dia sering ke kelab malam bersama rakan-rakan untuk mengalihkan perhatian daripada memori pahit yang sering menghantuinya.
Perkara tersebut berlarutan agak lama sehingga dia bertemu dengan seorang pengkid, Ami (bukan nama sebenar) yang pada awalnya disangka sebagai lelaki.
“Ami mula mendekati saya semasa kami di kelab malam. Dia sangat ramah dan menegur saya yang ketika itu sedang menunggu rakan ke tandas.
“Bermula daripada pertemuan itu, kami sering berjumpa setiap kali ke kelab malam sehingga Ami mengajak saya keluar bersamanya,” ujarnya.
Perkenalan dengan Ami membuatkan Zarina lupa akan kenangan pahit dalam perhubungan sebelum ini.
Hal ini kerana, Ami lebih memahami keperluan wanita berbanding lelaki.
Ini membuatkan Zarina semakin tertarik dengan Ami sehingga mereka memutuskan untuk menjalinkan hubungan lebih serius.
Jelasnya lagi, sepanjang perkenalan dengan Ami, dia dijaga dan dimanjakan.
Bagaimanapun, rakan-rakan Zarina menentang hubungannya dengan Ami.
Disebabkan itu, Zarina mula kehilangan kawan-kawan yang berasa jijik dengan hubungannya bersama Ami.
Namun begitu, Zarina tidak mengendahkan hal itu dan tetap menjalin hubungan bersama Ami sepanjang hampir tiga tahun.
Pada tahun ketiga, segalanya berubah apabila Ami mula menunjukkan perubahan berbanding peringkat awal perkenalan mereka.
“Ami mula berahsia, kalau dia keluar tidak lagi memaklumkan kepada saya. Malah, kami juga jarang berjumpa.
“Saya mula berasa curiga dan pernah bertanya kepadanya tentang hal itu, namun saya pula dimarahi kerana memikirkan yang bukan-bukan,” katanya.
Kongsinya lagi, disebabkan Ami terlalu banyak berubah, Zarina mula menyiasat pergerakan Ami.
Satu hal yang tidak diduga, ketika mengikuti Ami, Zarina terkejut melihat wanita itu pergi ke tandas awam dan keluar berbaju kurung sebelum berjumpa dengan seorang lelaki.
Disebabkan itu, Zarina terus berjumpa Ami sebaik dia pulang ke rumah dan menanyakan tentang perkara dilihatnya sebelum ini.
“Ami mengatakan, dia sudah jatuh cinta dengan seorang lelaki di tempat kerja. Hal itu membuatkan dia mahu berubah.
“Dia juga menasihatkan saya supaya kembali ke jalan benar dan memutuskan hubungan kami dengan cara baik,” ujarnya.
Sejak itu, Zarina menyedari bahawa dia telah menjalani sebuah hubungan yang sia-sia dan kembali bertaubat.
Kini Zarina sudah bahagia, dia menjalani kehidupan bersama suami yang dikenalkan oleh kedua-dua orang tuanya serta dikurniakan dua cahaya mata.














