Bertahun-tahun berpencak dalam gelanggang muzik yang berakar di jiwa, setiap penghasilan, pencapaian waima momen yang dilalui menjadi pengalaman amat berharga dan mematangkan setiap anak seni.
Itu yang berlaku kepada kumpulan Spider sepanjang mengukuhkan kedudukan hampir tiga dekad beraksi di pentas seni. Mereka sudah ‘masak’ dengan corak permainan industri dahulu dan kini.
Tumbuh sejak 1996, kumpulan yang kini dianggotai Tam selaku vokalis, Pown (gitar), Eiz (bess) dan Aie (dram) terus hidup mempertahankan jenama Spider dalam kemeriahan kehadiran band baharu ketika ini.
Positif dengan evolusi muzik, vokalis Spider, Tam melihat pertumbuhan band baharu sebagai satu keperluan buat industri.
“Saya suka tengok banyak kumpulan muzik tengah naik ketika ini.
“Kami yang memperjuangkan band jadi seronok bila tengok ada band macam Kugiran Masdo. Walaupun berlainan muzik dengan kami tetapi mereka menunjukkan bukti bahawa apa yang mereka bawa itu berkualiti.
“Industri juga ada Bunkface dan Hujan, ini antara yang band yang membanggakan. Sebenarnya kita mahukan lebih banyak band sebegini, tidak mungkinlah ada Bunkface dan Hujan sahaja.

“Siapa yang seterusnya selepas mereka, jadi band sekarang ini kena berani keluar dengan ideologi dan falsafah yang segar,” katanya kepada HibGlam.
Sekatan label
Lelaki berusia 50 tahun itu bagaimanapun memahami kesukaran anak muda zaman ini membina band dengan identiti sendiri dek sekatan sesetengah syarikat pemasaran.
“Kadang-kadang ada band baharu nak berjuang tetapi ada label yang tidak memberikan kebebasan sepenuhnya kepada mereka untuk berkarya.
“Label perjuangkan bisnes dan ini perkara biasa yang berlaku dalam industri kita, misalnya label akan cakap kena ikut apa yang Kugiran Masdo buat.
“Kita kena lawan dan perjuangkan apa yang kita rasa betul. Band adalah mengenai perjuangan dan setiap band perjuangannya berbeza tetapi kita dalam satu arena yang sama,” ujarnya.
Namun, Tam atau nama lengkapnya Rustam Mustafah memahami kehendak setiap syarikat yang mementingkan penjualan berbanding perjuangan setiap artis jagaan mereka.

“Saya juga tidak menafikan label memainkan peranan seperti artis yang baru nak mula, rakaman bukan suatu benda yang murah, jadi label yang menanggung segala kos rakaman jadi bila mereka tanggung, mereka ada hak.
“Mereka ahli perniagaan, jadi kalau apa yang mereka cakap tidak okey, beredar dan tak ikut, cari label yang lebih baik dengan apa yang kau perjuangkan,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Tam turut mengingatkan pemuzik generasi baharu agar tidak terburu-buru dalam merancang perjalanan seni supaya tidak hanya menapak sebagai kumpulan ‘mi segera’.
“Ada juga mereka yang rasa kita tiada perjuangan dan ideologi, ingatkan kita datang saja-saja buat persembahan. Mereka tidak tahu sebaliknya bagaimana.
“Ada juga yang tidak sabar, jadi memilih platform seperti YouTube dan TikTok yang ‘easy access’ untuk berkarya.
“Situasi begitu okey tetapi buat dengan betul, biar rancangan teratur baru menjadi. Ini kalau gagal salahkan semua orang. Hendak berjuang biar berjuang betul-betul,” jelas anak kelahiran Melaka itu.
Langkah kanan
Tambahnya, setiap individu harus menjaga nilai muzik berbanding penampilan yang akan dipersembahkan kepada khalayak supaya mudah membina nama.
“Kalau berjuang tidak mungkin bawa satu peluru sahaja, begitulah umpamanya. Buat muzik betul-betul, seni kena jaga.
“Kadang-kadang muzik tak seberapa, penampilan sahaja yang okey pun tak boleh juga, semua kena seimbang,” katanya.

Sebelum menggulung bicara, Tam sempat berkongsi kisah bertuahnya dia apabila bertemu dengan komposer Datuk M.Nasir pada awal penubuhan Spider dan menandatangi kontrak bersama Luncai Emas yang kekal hingga kini.
“Kami bertuah dalam satu benda, kami datang dan jumpa M. Nasir dan dia terima kami seadanya. Itu yang paling seronok.
“Dia dengar dan bagi pandangan tetapi kita yang kena buat keputusan. Dia ada pandangan sendiri tapi kalau tak kena dengan kita, tak perlu ikut.
“Mesti kena perbincangan dua hala, tak boleh main ikut saja.Dari dulu sampai sekarang dia tak pernah bagi halangan,” tutupnya.













