GEORGE TOWN -Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita untuk mendapatkan emas yang kononnya dilelong Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM116,256, tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Nuur Thibrani Mohamed Ibrahim, 35, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah telah memperdayakan seorang wanita berusia 53 tahun untuk mempercayai bahawa tertuduh berupaya mendapatkan emas yang dilelong oleh pihak polis IPK Pulau Pinang dan mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM116,256 kepada tertuduh.
Mangsa telah memasukkan wang ke dalam empat akaun bank yang diberikan oleh tertuduh yang mana mangsa tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdaya sedemikian.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh pada 15 Oktober 2023, pukul 11.05 pagi hingga pada tarikh 21 November 2023, kira-kira pukul 6.58 pagi bertempat di sebuah kolej di pusat bandar Georgetown.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ashraf Ali mencadangkan jaminan RM12, 000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
Dalam rayuannya, tertuduh meminta wang jaminan dikurangkan memandangkan dia seorang suri rumah.
Mahkamah kemudian menawarkan wang jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh dan kes disebut semula pada 12 September depan. -KOSMO! ONLINE