JAKARTA – Polis menahan seorang lelaki di Pinrang, wilayah Sulawesi Selatan kerana mendera dan mengancam bayinya yang berusia setahun selepas isterinya meminta cerai, lapor laman berita Detik semalam.
Suspek dikenali sebagai Sandi, 25, mendera anaknya itu selama 16 jam sambil merakam video penderaan.
Berdasarkan video yang dimuat naik di laman sosial, nenek mangsa dilihat cuba menyelamatkan cucunya.
Sandi menghempaskan bayi itu ke atas tilam berulang kali selain menjerut leher mangsa menggunakan tali serta mengancam untuk menetaknya menggunakan parang.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Pinrang, Inspektor Andi Reza Pahlawan, dalam kejadian pada Ahad lalu, mangsa hanya diselamatkan pada keesokan harinya sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan) selepas rundingan yang sukar.
“Selama 16 jam suspek mendera anaknya. Dari pukul 7 petang (waktu tempatan) hingga 10 pagi (waktu tempatan).
Tambah Andi, suspek bertindak demikian kerana berang disebabkan isterinya mahu bercerai.
“Suspek mengaku berasa marah terhadap isteri dan keluarga mentuanya. Mereka sudah lama tidak tinggal sebumbung, hampir setahun,” katanya. – AGENSI














