DHAKA – Kerajaan peralihan Bangladesh yang diketuai pemenang Hadiah Nobel, Muhammad Yunus akan dilantik pada hari ini, kata ketua tentera negara itu seperti laporan agensi berita Anadolu.
“Muhammad Yunus bakal mengetuai Kabinet interim terdiri daripada 15 anggota yang kesemua mereka akan mengangkat sumpah lewat hari ini,” kata Jeneral Waker-Uz-Zaman semalam.
Kerajaan interim itu diumumkan oleh Waker pada Isnin lalu selepas Sheikh Hasina meletak jawatan sebagai perdana menteri dan melarikan diri ke India.
Ia berikutan protes ganas selama berminggu-minggu terhadap kerajaannya yang menyaksikan kira-kira 400 orang terbunuh.
Muhammad Yunus dilaporkan pulang ke Bangladesh dari Perancis hari ini.
Semalam, beliau mengucapkan tahniah kepada keberanian pelajar yang memimpin dalam menjayakan hari kemenangan kedua buat negara itu.
Beliau merujuk kepada Hari Kemenangan tahunan negara tersebut yang menandakan Bangladesh mencapai kemerdekaan pada tahun 1971.
“Marilah kita menggunakan kemenangan baharu kita dengan sebaiknya. Jangan kita biarkan perkara ini disia-siakan kerana kesilapan kita.
“Saya bersungguh-sungguh merayu kepada semua orang untuk bertenang. Tolong elakkan semua jenis keganasan,” kata Muhammad Yunus. – AGENSI